amree02/10/2026 - 15:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 2 Okt — Jasa Kita Berhad merancang menjadikan syarikat yang baru diambil alih, KT System Sdn Bhd, sebagai platform untuk merebut peluang dalam pasaran infrastruktur tenaga Malaysia dianggarkan bernilai antara RM40 bilion hingga RM50 bilion setahun.
Peluang besar itu dilihat membuka ruang kepada kumpulan tersebut untuk memperluas perniagaan ke sektor infrastruktur tenaga, khususnya dalam bidang ujian, perlindungan, pentauliahan dan perkhidmatan kejuruteraan khusus yang kini menjadi kepakaran KT System.
Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Seri Iskandar Mizal Mahmood berkata, bidang yang diceburi KT System itu memiliki potensi pasaran luas dianggarkan antara RM600 juta hingga RM2 bilion setahun, sekali gus menyediakan ruang sumber pendapatan baharu lebih berulang.
"Angka ini merupakan anggaran potensi pasaran dan bukan nilai tempahan atau unjuran hasil Jasa Kita, dengan pengembangan KT System akan berperingkat berdasarkan permintaan pasaran, peluang yang tersedia serta keupayaan melaksanakan projek," katanya dalam kenyataan.
Sehubungan itu, menurut beliau, kumpulan tersebut akan memperluas keupayaan KT System dalam bidang perkhidmatan ujian voltan tinggi, pentauliahan dan sistem perlindungan elektrik serta membangunkan pelbagai kerja pemeriksaan dan penyelenggaraan secara berulang.
Langkah itu ujarnya, merupakan sebahagian strategi Jasa Kita untuk terus mempelbagaikan perniagaan daripada sekadar aktiviti pengedaran industri tradisional kepada sektor penjanaan tenaga, infrastruktur grid, pusat data (DC) dan tenaga boleh diperbaharui (RE).

Jasa Kita menyelesaikan pengambilalihan 100% kepentingan dalam KT System bernilai RM10 juta pada 31 Julai 2026, dengan keputusan kewangan syarikat itu mula disatukan ke dalam kumpulan mulai Ogos 2026. Pengambilalihan ini dibiayai sebahagiannya menggunakan dana dalaman.
"Dalam pada itu, KT System dikenal pasti mampu memberikan Jasa Kita dengan platform teknikal sedia ada untuk mengembangkan operasi sektor tenaga berkenaan tanpa perlu usaha membangunkan kepakaran rumit tersebut daripada peringkat awal," jelas Iskandar.
KT System menyediakan perkhidmatan pemeriksaan, ujian, pentauliahan dan penyelenggaraan sistem elektrik untuk rangkaian penghantaran dan pengagihan, selain menjalankan kerja elektrik dalaman serta luaran dan khidmat perundingan serta pengurusan sektor tenaga.
Ia dilesenkan Suruhanjaya Tenaga (ST) bagi kerja ujian dan pentauliahan sehingga 500 kV, selain memiliki rekod projek dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB), Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), PETRONAS, Siemens, Sabah Electricity Sdn Bhd dan Sarawak Energy Bhd.
Dalam jangka panjang, Jasa Kita menjangkakan permintaan terhadap perkhidmatan KT System akan disokong pertumbuhan DC berasaskan kecerdasan buatan (AI), projek RE, sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS), kapasiti penjanaan baharu dan pembangunan grid pintar. - DagangNews.com






