"Adakah Mak dan Ayah Akan Kecewa Kalau Saya Gagal?" #KebaikanHariIni

Family & Parenting
1 Jan 2025 • 8:00 AM MYT
Soleha Nor
Soleha Nor

I am currently enrolled in the Bachelor of Accounting program at IIUM.

Image from: "Adakah Mak dan Ayah Akan Kecewa Kalau Saya Gagal?" #KebaikanHariIni
Photo Credit: Soleha Nor

Anak-anak sering kali merasa tertekan untuk memenuhi harapan ibu bapa yang tinggi. Tahukah anda sokongan emosional daripada ibu bapa dapat mengubah tekanan itu menjadi motivasi? Sikap positif seperti memberi galakan, memahami situasi anak dan menghargai usaha mereka adalah kunci kepada perkembangan emosi dan mental anak-anak.

Putar kembali momen ketika saya menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2020 di mana tahun ini merupakan salah satu tempoh yang paling mencabar dalam hidup saya. Saya dihantui oleh perasaan ketakutan dan kebimbangan, terutamanya tentang sama ada saya mampu membuat ibu bapa saya bangga dengan keputusan SPM saya ataupun tidak. Lebih-lebih lagi, ketika keputusan akademik saya semakin merosot, saya menjadi sangat takut jika saya mengecewakan mereka. Namun, siapa sangka tahun yang sangat mencabar bagi saya ini, ada satu pengalaman yang telah menjadi pengalaman yang paling bermakna dalam hidup saya.

Ketika tarikh peperiksaan SPM semakin hampir, saya menjadi sangat resah dan tidak boleh fokus mahupun mengulang kaji pelajaran dengan tenang. Saya sering kali berasa tertekan dan memaksa diri saya untuk belajar sehingga lewat malam tanpa menghiraukan tidur dan rehat yang cukup. Saya akhirnya memberanikan diri untuk berbincang dengan ibu bapa saya tentang situasi yang saya alami. Sungguh, tidak seperti yang saya bayangkan. Mereka menyambut saya dengan kata-kata penuh kasih sayang dan sokongan. Mereka meyakinkan saya bahawa mereka akan tetap bangga terhadap saya tidak kira apa pun keputusan saya, kerana saya telah berusaha dan melakukan sebaik mungkin. Kata-kata mereka ini menghapuskan beban yang saya tanggung selama ini. Semua kebimbangan saya seolah-olah lenyap begitu sahaja. Saya menjadi lebih bersemangat untuk belajar dan fokus mengulang kaji pelajaran untuk menduduki peperiksaan SPM. Tiada lagi rasa takut dan bimbang jika tidak dapat membanggakan mereka.

Daripada pengalaman ini, saya belajar bahawa kebanggaan ibu bapa saya sebenarnya tidak bergantung kepada pencapaian saya semata-mata, tetapi lebih kepada usaha yang saya curahkan. Oleh hal yang demikian, saya sangat menghargai kasih sayang tanpa syarat mereka kepada saya.

Pengalaman saya ini menjadi bukti betapa pentingnya komunikasi terbuka dalam keluarga. Apabila anak-anak merasakan kasih sayang tanpa syarat daripada ibu bapa, mereka lebih mudah untuk berkongsi masalah dan mencari penyelesaian bersama tentang masalah yang mereka hadapi. Saya masih ingat bagaimana kata-kata ibu bapa saya menjadi kekuatan yang tidak ternilai bagi saya. Sungguh, kata-kata mereka memberikan saya ruang untuk belajar daripada kegagalan tanpa rasa takut dihukum ataupun tidak disayangi.

Wahai ibu bapa, penting bagi kalian untuk sentiasa menghargai usaha anak-anak, yang berhasil mahupun tidak. Ingatlah, kejayaan sebenar bukanlah hanya tentang mencapai matlamat yang luar biasa, di luar kemampuan anak-anak. Ia tentang perjalanan dan usaha yang dilakukan untuk mencapainya. Sokongan dan kata-kata positif boleh menjadi kekuatan besar dalam membentuk keyakinan diri anak-anak. Untuk mencapai sesuatu yang luar biasa itu boleh, tetapi ibu bapa perlulah memberikan sokongan dan motivasi yang luar biasa juga kepada anak-anak.

Marilah kita, sebagai masyarakat, menyemai sikap positif dalam keluarga dan memberikan sokongan kepada ahli keluarga kita agar mereka mampu berkembang menjadi individu yang penuh keyakinan dan penuh potensi.


Image from: "Adakah Mak dan Ayah Akan Kecewa Kalau Saya Gagal?" #KebaikanHariIni

Hantarkan konten berkaitan #KebaikanHariIni dan berpeluang menangi hadiah bernilai sebanyak RM13,000 termasuk RM10,000 dalam bonus tunai! Ketahui lebih lanjut di sini.


Soleha Nor adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi Newswav.