Source foto: mentatdgt dari Pexels
Kesaksamaan antara lelaki dan wanita adalah sentiasa sukar untuk dibincangkan. Di Malaysia, jumlah pembahagian dari segi jantina adalah lebih kurang sama, dengan lelaki merekodkan 50.7% dan perempuan ialah 49.3% daripada populasi semasa di negara kita. Walaupun ‘kesaksamaan’ nampaknya wujud dari segi jumlah penduduk di Malaysia, wanita masih menderita dalam memperoleh peluang, menyertai Parlimen dan menerima gaji yang sama berbanding dengan rakan lelaki mereka walaupun mereka mempunyai pengalaman dan kelayakan yang sama.
Sebab utama mengapa ketidaksamaan wujud telah dibahaskan oleh ramai. Ada yang mengatakan bahawa ia adalah kerana ideologi yang sudah menjadi norma untuk kita. Ada juga yang menyatakan bahawa wanita secara umumnya lebih ‘lemah’ daripada lelaki atau wanita harus kekal di tempat mereka, lebih baik dilihat dan tidak didengari. Satu lagi sebab yang jelas adalah disebabkan oleh pengaruh kepercayaan budaya yang melampau yang telah memusnahkan banyak kehidupan wanita-wanita muda bahkan bukan sahaja di negara kita tetapi negara-negara lain di seluruh dunia.
Namun begitu, sebagai seorang lelaki, apabila saya melihat bagaimana orang ramai mengubah pandangan mereka terhadap wanita, saya rasa bangga dan terharu. Ini kerana saya boleh menjangka masa depan yang lebih cerah untuk anak perempuan dan adik-beradik saya. Idea pemerkasaan wanita dan usaha yang sedang dijalankan untuk meningkatkan idea ini memberi kesan baik bukan sahaja kepada pihak wanita tetapi pihak lelaki juga.
Jadi, persoalannya tetap, apakah yang boleh kita lakukan untuk menangani isu-isu ketidaksamaan yang boleh memberi kesan negatif kepada kemajuan yang telah diperjuangkan oleh wanita di seluruh dunia?
Pertama sekali, kerajaan mesti melakukan sesuatu untuk meningkatkan peluang yang diberikan kepada wanita dalam setiap bidang yang mereka mampu. Peningkatan peluang akan menggalakkan beribu-ribu wanita yang ditindas untuk mempertahankan hak mereka. Ini sangat relevan untuk kanak-kanak perempuan yang tinggal dengan keluarga yang kejam. Kebanyakan kes gangguan seksual tidak diendahkan oleh pihak berkuasa kerana ‘pantang larang’ yang menhindari mereka daripada berbincang tentang hal-hal tersebut.
Kerajaan boleh bermula dengan memberi lebih banyak biasiswa, kebajikan awam dan membuka agensi kerajaan yang khususnya untuk wanita sahaja. Agensi ini boleh membantu dari segi menangani isu-isu yang dihadapi oleh kebanyakan wanita. Ini kemudiannya boleh memberi mereka peluang secara langsung untuk memastikan bahawa tuntutan mereka akan didengari oleh mereka yang berkuasa.
Mengubah kehidupan seseorang bukanlah satu tugas yang mudah, namun sebagai pemimpin negara kita, pihak berkuasa mesti cuba yang terbaik untuk memuaskan hati semua orang. Sebagai rakyat, tanpa mengira jantina, kita mengundi dan mengharapkan penambahbaikan setiap kali kerajaan baharu dipilih. Oleh itu, kita mesti memahami kenapa penglibatan wanita dalam parlimen mesti ditingkatkan secepat mungkin.
Malaysia sentiasa agak lewat dalam pemajuan dari segi isu sosial. Kita sering berpegang dengan ideologi-ideologi ekstrem walaupun kewujudan teknologi baru dan sejarah lama telah memberi pengajaran kepada kita.
Ini adalah masalah yang mungkin perlu kita hadapi pada masa hadapan. Jika realiti semasa tidak dapat diterima oleh majoriti, pihak berkepentingan akan sentiasa berada dalam kesengsaraan.
Di Parlimen Malaysia, peratusan wanita yang bertugas adalah kurang daripada 20%. Ini bermakna, kita sedang hidup dalam negara yang dipimpin oleh kaum lelaki. Tiada masalah jikalau yang memimpin kita adalah mereka yang berkebolehan, tetapi ia mewujudkan suatu imej negatif berkaitan dengan kadar kemasukan yang agak bersandaran terhadap kaum lelaki.
Penambahan kuota wanita di parlimen akan memberi jaminan kepada separuh daripada penduduk negara kita iaitu wanita. Wanita di negara ini mesti menyedari bahawa mereka mampu menjadi pemimpin, sama seperti lelaki di luar sana. Kepimpinan tidak boleh dipupuk berdasarkan jantina dan bangsa, tetapi ia berdasarkan pengalaman, patriotisme, semangat dan kelayakan. Terdapat berjuta-juta wanita di Malaysia yang terpaksa berselindung di sebalik bayang-bayang orang yang tidak layak hanya disebabkan oleh ideologi-ideologi yang telah kita tanam dalam minda kita.
Apabila wanita dibenarkan berada dalam parlimen, kita dapat melihat perubahan besar dalam kedudukan parti-parti politik. Ini kerana, wanita-wanita Malaysia boleh memandang tinggi kepada seseorang yang sama jantinanya dan mereka boleh bersandar kepada wanita yang berada dalam parlimen untuk memimpin dan membimbing mereka. Malah generasi muda, tidak kira jantina, mula menyedari kepentingan mempunyai kerajaan yang sama rata dan adil.
Satu lagi isu yang mesti dibincangkan dan diperbaiki oleh kerajaan ialah mengenai jurang gaji jantina yang menjejaskan kehidupan ribuan wanita di luar sana. Jurang gaji jantina bermaksud perbezaan gaji yang diterima oleh wanita berbanding lelaki. Terdapat banyak hujah yang dibuat oleh orang ramai mengenai isu ini, namun, kebanyakan orang tidak mahu mengakui bagaimana ia mempengaruhi pemerkasaan wanita secara keseluruhan.
Pada tahun 2017, wanita yang mempunyai pengalaman dan kelayakan yang cemerlang memperoleh 6.6% gaji lebih rendah berbanding dengan lelaki yang setara dengan mereka dari segi yang dinyatakan di atas. Peratusan itu jelas meningkat selepas gelombang dahsyat Covid-19.
Masalah ini perlu diselesaikan kerana wanita telah bekerja keras untuk berada di tempat mereka hari ini dan melawan norma masyarakat yang biasanya tidak menerima mereka, kini sekali lagi dilanda masalah lain yang akan berlarutan sehingga hari tua. Ini menghalang kemajuan yang cuba diatasi oleh wanita Malaysia. Ia menjejaskan kemungkinan untuk mengubah ideologi kita dan juga boleh mengurangkan semangat yang telah mendorong wanita di negara kita untuk memperjuangkan hak mereka. Wanita pada masa depan di negara kita mungkin perlu bermula semula apabila perjuangan keperkasaan wanita ini ditinggalkan oleh rakyat hari ini.
Untuk mengatasi masalah ini, kerajaan boleh mula mengumpul data daripada organisasi kerajaan dan syarikat swasta berkenaan isu ini. Sekiranya jurang itu ada, maka mereka yang berkuasa harus memaksa agensi untuk berhenti memberikan jurang gaji hanya kerana jantina seseorang individu adalah berbeza. Analisis menyeluruh mesti dibuat untuk memastikan penindasan di tempat kerja dapat dikurangkan secara mendadak.
Sebagai seorang lelaki yang kini hidup dalam abad ke-21, saya benar-benar mahu hidup cukup lama untuk melihat kesaksamaan jantina menjadi kenyataan di negara kita. Saya amat percaya bahawa setiap orang harus diberi peluang untuk menjadi versi terbaik diri mereka. Kekangan seperti jantina, bangsa dan etnik harus dikurangkan agar kita dapat mencipta utopia sendiri. Masih belum terlambat untuk kita mula menambah baik dan memulakan kehidupan saksama sesama rakyat di negara kita.
Mahathir Hj Mohd Rais adalah Ketua BERSATU Bahagian Segambut (Parti Pribumi Bersatu Malaysia).
*Kandungan di atas hanya mewakili pandangan penulis sendiri. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.




