
GEORGE TOWN – Tanggungjawab sebagai anak sulung kini perlu dipikul seorang remaja bukan sahaja sebagai seorang mahasiswa, tetapi juga sebagai ‘ketua keluarga’ buat tiga orang adiknya termasuk seorang yang berstatus orang kurang upaya (OKU).
Muhammad Adam Iskandar Azharul Naim, 20, yang mendaftar sebagai pelajar baharu di Universiti Sains Malaysia (USM) semalam berkata, semua amanah itu akan dijaganya sebaik mungkin termasuk menunaikan pesanan terakhir arwah ibu mereka.
Menurut Muhammad Adam, arwah ibunya selalu berpesan supaya mereka adik-beradik termasuk Nur Alya Syafiah, 19, Nur Aleesya Syafiyah, 17 dan Muhammad Ashraf Iskandar, 16, yang merupakan OKU tidak mewarisi kesusahan yang pernah dilalui keluarga.
“Bapa meninggal dunia pada 2021 akibat Covid-19, manakala ibu, Siti Hajar Awang, 43, menghembuskan nafas terakhir akibat glioblastoma atau kanser otak pada 24 Ogos lalu.
“Arwah ibu selalu pesan, cukuplah mak yang susah, jangan anak-anak. Pesanan itu yang membuatkan saya mahu terus belajar dan berusaha.
“Suatu hari nanti saya mahu mengubah kehidupan kami adik-beradik dan membalas segala pengorbanan arwah mak dan ayah,” katanya ketika ditemui selepas sidang media kemasukan pelajar baharu ke USM Program Pengajian Ijazah Sarjana Muda Sidang Akademik 2026/2027 di sini, semalam.
Muhammad Adam yang kini mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Sejarah) berkata, keputusan untuk meneruskan pengajian bukan mudah kerana dia sebelum ini turut menggalas tugas menjaga tiga adiknya.
“Saya hampir mahu menolak tawaran ke USM kerana ketika itu arwah ibu sudah terlantar sakit dan adik-adik masih belum benar-benar bersedia untuk hidup berdikari.
“Namun, perancangan Allah sangatlah di luar jangkaan. Arwah ibu pergi sebelum saya melanjutkan pengajian,” katanya.
Menurutnya, dia sebelum ini turut menolak tawaran ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bagi mengikuti program asasi apabila kesihatan ibunya semakin merosot.
Katanya, walaupun berat meninggalkan adik-adiknya, dia yakin mereka mampu berdikari dengan sokongan keluarga, saudara-mara dan masyarakat.
“Saya serahkan urusan mereka kepada Allah. Sebelum ini pun, keluarga dan masyarakat banyak membantu kami selepas kehilangan ibu dan ayah.
“Adik-adik saya juga sudah biasa berdikari. Saya percaya mereka boleh menjaga diri sementara saya perlu menuntut ilmu di sini.
“Untuk adik, belajarlah bersungguh-sungguh. Ilmu adalah kekuatan untuk kita bertahan dalam dunia ini. Abang pergi tuntut ilmu bukan untuk diri abang seorang, tetapi untuk kesenangan kita semua.
“Adik jangan sedih, abang pergi tuntut ilmu untuk kesenangan kita.” ujarnya dalam nada sebak.
The post Adam tinggalkan tiga adik demi kejar ilmu appeared first on Kosmo Online.



