‘ADC’ Raja Muda Selangor dihukum penjara, sebat lagi

20 Nov 2026 • 5:57 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘ADC’ Raja Muda Selangor dihukum penjara, sebat lagi

SHAH ALAM – Seorang lelaki yang menyamar Pengawal Peribadi Sulit (ADC) Raja Muda Selangor didakwa lagi di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan menipu berhubung penjualan dua kenderaan lelong bernilai RM73,000.

Tertuduh, Al Zulfadly Alias, 40, mengaku bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara 27 bulan dan dua sebatan oleh Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin. Mahkamah memerintahkan hukuman itu berjalan secara berasingan bermula 12 dan 13 November lalu.

Keputusan itu dibuat selepas 24 jam Mahkamah Majistret Seremban menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan satu sebatan terhadap tertuduh atas dua tuduhan menipu wang RM27,300 berkaitan Rumah Selangorku dan tanah rizab Sultan Selangor semalam.

Sementara itu, tunangnya, Nurul Nur Syahirah Kamarudin, 37, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama dan mahkamah menetapkan 19 Januari 2027 untuk sebutan kes.

Mereka didakwa bersubahat dengan seorang lelaki untuk menipu mangsa berusia 48 tahun dengan memperdayakannya supaya mempercayai mereka mempunyai keupayaan menguruskan pembelian Honda CRV kononnya diperoleh menerusi lelongan sempena Sidang Kemuncak ASEAN pada harga RM33,000.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah premis di sini antara 13 dan 14 Mei lalu. Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Al Zulfadly dan Nurul Nur Syahirah didakwa memperdaya seorang wanita berusia 43 tahun supaya mempercayai mereka mempunyai keupayaan menguruskan pembelian Lexus RX350 yang kononnya diperoleh menerusi lelongan sempena Sidang Kemuncak ASEAN pada harga RM40,000.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah premis di Taman Sri Andalas, Klang, antara 13 dan 14 April lalu.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, kedua-dua mangsa bertemu dengan tertuduh dan tunangnya di sebuah restoran bagi mendapatkan maklumat berhubung penjualan kenderaan terpakai sempena Sidang Kemuncak ASEAN.

Dalam pertemuan itu, Al Zulfadly memperkenalkan dirinya sebagai ADC kepada Raja Muda Selangor dan mampu menguruskan pembelian kenderaan berkenaan menerusi proses lelongan.

Tertuduh turut menggunakan kedudukannya sebagai ADC untuk meyakinkan kedua-dua mangsa bahawa beliau mampu mendapatkan kenderaan pada harga yang lebih murah.

Kedua-dua mangsa berminat untuk mendapatkan kenderaan berkenaan sebelum membuat transaksi wang RM33,000 dan RM40,000 ke dalam akaun bank tertuduh. Selepas pembayaran dibuat, kedua-dua mangsa gagal memperoleh kenderaan yang dijanjikan.

Pasangan itu didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam pada 12 November lalu atas tuduhan menipu urusan jual beli kenderaan lelong bernilai RM33,000. Pada 13 November, mereka didakwa di Mahkamah Majistret Klang atas pertuduhan menipu kenderaan lelong bernilai RM40,000.

Pada 16 November pula, Al Zulfadly dipenjara setahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur selepas mengaku bersalah menipu seorang selebriti berhubung pembelian hartanah.

Esoknya, pada 17 November, lelaki itu sekali lagi dihukum penjara dua tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan menipu seorang doktor wanita membabitkan RM155,000 berkaitan pembelian hartanah serta kenderaan mewah. – Bernama

The post ‘ADC’ Raja Muda Selangor dihukum penjara, sebat lagi appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved