
SHAH ALAM, 18 NOV: Lima stesen pemantauan paras air sungai di Selangor merekodkan tahap bahaya, manakala tiga lagi berada pada tahap amaran setakat jam 3 petang ini.
Berdasarkan data InfoBanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor, Kuala Selangor mencatatkan jumlah stesen paras bahaya tertinggi iaitu tiga, diikuti Klang dengan dua stesen.
Di Kuala Selangor, Stesen Teluk Penyamun Jeti (F2) merekodkan bacaan 6.254 meter, melepasi paras bahaya 6.2 meter.
Dua lagi stesen ialah Parit Mahang (F2) dengan bacaan 4.558 meter berbanding paras bahaya 4.2 meter dan Pintu Air Ijok yang mencatatkan 3.93 meter, melebihi paras bahaya 3.7 meter.
Sementara itu, dua stesen di Klang turut merekodkan tahap bahaya, masing-masing di Pekan Meru dengan bacaan 4.24 meter dan Pekan Meru (F2) pada 4.29 meter, berbanding paras bahaya 4.2 meter.
Tiga stesen lain berada pada tahap amaran, iaitu Parit Mahang dan Kampung Asahan (F2) di Kuala Selangor serta Jambatan Sempadan Sabak Bernam/Teluk Intan (F2) di Sabak Bernam.
Stesen Parit Mahang mencatatkan bacaan 4.42 meter, menghampiri paras bahaya 4.5 meter, manakala Kampung Asahan merekodkan 2.888 meter berbanding paras bahaya 3 meter.
Di Sabak Bernam, bacaan paras air di Jambatan Sempadan Sabak Bernam/Teluk Intan pula berada pada 2.8 meter, berbanding paras bahaya 3 meter.
Dalam perkembangan berkaitan, pemantauan intensiti hujan menunjukkan Stesen Taman Templer (F2) di Gombak merekodkan hujan lebat sebanyak 32.5 milimeter dalam tempoh sejam.
Menurut JPS, stesen pemantauan hujan lain di Selangor mencatatkan hujan sederhana, renyai atau tiada hujan setakat waktu berkenaan.






