‘Adik pakai baju sama ketika sambut hari jadi, Julai lalu’

22 Oct 2026 • 8:40 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Adik pakai baju sama ketika sambut hari jadi, Julai lalu’

GEORGE TOWN – Keluarga Muhammad Nazhif Faris Mohd. Fauzi, 22, tidak menyangka baju lengan panjang yang dipakainya ketika menyambut hari lahir pada Julai lalu menjadi pakaian terakhirnya ketika terlibat kemalangan di Kilometer 3.4 Jambatan Pulau Pinang di sini, pagi tadi.

Lebih memilukan lagi, baju berwarna kelabu itu merupakan hadiah pemberian ibu mangsa kepada anak kelima daripada enam beradik itu, sebelum beberapa hari menjelang hari jadinya.

Kakak ipar mangsa, Nur Hidayati Jasri, 36, berkata, dia sebak apabila mengetahui adik iparnya yang merupakan penuntut di sebuah universiti tempatan di Kulim, Kedah itu dilihat memakai baju sama ketika menatap jenazah mangsa pagi tadi.

“Bila tengok baju yang dia pakai, saya terus teringat baju itu yang dipakainya ketika sambutan hari lahirnya pada Julai lalu.

“Mak pun sedih apabila melihat baju sama yang dipakai ketika hari lahirnya itu menjadi pakaian terakhir arwah,” katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang, hari ini.

Mengimbas kenangan bersama arwah, Nur Hidayati berkata, adik iparnya itu seorang yang rajin, ceria dan mudah membantu sesiapa sahaja yang meminta pertolongan.

Katanya, arwah juga rapat dengan seluruh ahli keluarga, terutama abangnya yang sering mengajaknya keluar memancing kerana aktiviti itu menjadi hobi mereka.

“Dia juga rapat dengan anak-anak saya. Kalau ada beli sesuatu, dia akan panggil anak-anak untuk tunjuk apa yang dibelinya. Kali terakhir saya jumpa dia tiga hari lalu ketika dia datang ke rumah saya untuk membaiki telefon.

“Kami berbual seperti biasa sambil bergurau dan menonton televisyen bersama anak-anaknya tanpa menyangka itu antara kenangan terakhir mereka.

“Malah, tiada apa-apa perubahan dilihat kerana dia memang sangat peramah dan sentiasa ceria dengan sesiapa sahaja. Dia lebih rapat dengan mak mentua,” uajr sebak.

Bercerita lanjut katanya, arwah sedang melanjutkan pengajian dalam bidang mekatronik di peringkat ijazah dan dijangka menamatkan pengajian dalam tempoh setahun lebih lagi.

“Dia seorang yang rajin. Setiap kali cuti semester, dia akan mencari kerja dan tidak suka duduk diam begitu sahaja,” katanya.

Dalam pada katanya lagi, mangsa tidak memaklumkan kehadirannya ke Pulau Pinang dan keluarga juga tidak mengenali mangsa wanita terbabit.

“Adik tinggal di hostel dan sepatutnya dia pulang ke rumah petang ini. Biasanya dia akan pulang ke kampung setiap Khamis hingga Ahad,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

The post ‘Adik pakai baju sama ketika sambut hari jadi, Julai lalu’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved