Asiah baru keluar hospital, pergi buat selama-lamanya

13 Oct 2026 • 6:37 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Asiah baru keluar hospital, pergi buat selama-lamanya

KUALA LUMPUR: Baru seminggu keluar hospital selepas terjatuh di tandas, seorang kanak-kanak berusia lima tahun pergi buat selama-lamanya apabila maut dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Jalan Kuching di sini, Sabtu lalu.

Lebih memilukan, bapa saudaranya, Muhammad Amin Mohamad Nor Izam, 25, berkata, pertemuan terakhirnya dengan Asiah Ahmad Syahir, 5, adalah seminggu lalu ketika kanak-kanak itu baru dibenarkan keluar dari wad akibat jatuh di tandas.

“Arwah memang sangat rapat dengan seluruh ahli keluarga dan selalu berhubung melalui panggilan video.

“Kali terakhir saya bertemu dan memeluknya adalah se­minggu lalu selepas dia keluar hospital. Itu kali terakhir saya dapat bermanja dan bermain dengannya,” katanya dihubungi Utusan Malaysia.

Akhbar ini melaporkan seorang kanak-kanak perem­puan berusia lima tahun maut, manakala dua lagi cedera da­lam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Jalan Kuching dari arah pusat bandar menghala ke Segambut, pada 3.44 petang.

Kanak-kanak yang berada di tempat duduk penumpang belakang kenderaan jenis Perodua Bezza itu disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala ketika dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Muhammad Amin berkata, ketika kejadian, abangnya, Ahmad Syahir Mohamad Nor, 30, yang bekerja sebagai bilal bersama isteri dan dua anak mereka dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Sungai Penchala dekat sini.

Katanya, abangnya ketika itu perlu bergegas pulang untuk menjalankan tugas di masjid kawasan berkenaan.

“Sebelum kejadian, abang saya meluangkan masa membawa keluarganya bersiar-siar dan makan-makan di Keramat.

“Namun, ketika dalam perjalanan pulang, kemalangan itu berlaku. Aisyah meninggal dunia, manakala seorang lagi anak buah saya yang berusia dua tahun terselamat,” katanya.

Mengulas keadaan keluarga ketika ini, Muhammad Amin berkata, mereka sekeluarga ma­sih trauma dan alami tekanan emosi.

“Abang, kakak ipar dan anak bongsu mereka alhamdulillah selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan serius, cuma ada kesan lebam serta luka ringan. Namun, emosi mereka masih belum stabil,” katanya. – UTUSAN

The post Asiah baru keluar hospital, pergi buat selama-lamanya appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved