Mengaku bunuh warga emas tanpa niat ketika samun bersama kekasih

24 Sep 2026 • 2:53 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Mengaku bunuh warga emas tanpa niat ketika samun bersama kekasih

MELAKA – Seorang pekerja kedai makan mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Ayer Keroh, hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang warga emas berusia 71 ketika dia dan teman wanitanya melakukan samun ke atas mangsa, tiga tahun lalu.

Pengakuan itu dibuat Muhammad Faris Amjad Jamalludin, 27, selepas pertuduhan pilihan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah, manakala kekasihnya Noorbaizura Mohd. Fuad, 37, mengaku tidak bersalah.

Hakim Datuk D. Suria Kumar bagaimanapun menangguhkan hukuman terhadap Muhammad Faris pada tarikh 9 Oktober depan bagi menilai fakta kes.

Beliau berkata, kes tersebut adalah berbeza kerana ia merupakan kejadian samun sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki warga emas, selain perlu mengambil kira tindakan tertuduh yang tergamak membiarkan mangsa nazak di dalam longkang seorang diri.

Mengikut pertuduhan pilihan, tertuduh bagi mencapai niat bersama didapati telah melakukan perbuatan yang menyebabkan kematian Tan Kue Seng, yang berusia 71 ketika kejadian dengan niat hendak menyebabkan sesuatu bencana tubuh yang mungkin menyebabkan kematian.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh kira-kira pukul 7 pagi di tepi jalan Gapam dalam daerah Melaka Tengah pada 9 April 2023.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan (Akta 574) dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman pemenjaraan sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda.

Mengikut fakta kes, berdasarkan keterangan saksi yang juga kenalan kedua-dua tertuduh, sebelum kejadian pada hari sama, dia telah diajak melakukan samun pada pukul 4 pagi dan ketiga-tiga mereka telah melakukan beberapa siri jenayah.

Mereka telah menendang motosikal lelaki tua lain berhampiran Hard Rock Cafe dan memukul warga Bangladesh menggunakan besi T untuk merompak telefon bimbit di Klebang.

Pada pukul 7.30 pagi, mereka telah melihat mangsa sedang menunggang motosikal bersendirian dan mula mengekorinya. Ketika di Jalan Gapam, saksi melihat tertuduh lelaki menendang motosikal mangsa menyebabkannya terbabas ke bahu jalan dan menjunam ke dalam longkang batu.

Warga emas itu mengalami kecederaan di betis dan muka serta dalam keadaan nazak. Noorbaizura mendakwa dia telah meminta kekasihnya itu menghubungi ambulans tetapi lelaki itu hanya mendiamkan diri, malah terus meraba-raba poket seluar pendek mangsa.

Tertuduh lelaki kemudian mengambil beg pinggang mangsa dan membiarkan mangsa nazak bersendirian serta dengan senang hati mereka telah menggunakan kad bank mangsa untuk berbelanja. Mayat mangsa hanya ditemui oleh anaknya pada 11 April iaitu dua hari selepas kejadian dengan keadaan telah membengkak dan berbau busuk dalam longkang.

Terdahulu, peguam Tiu Leong Kim yang mewakili Muhammad Faris merayu agar hukuman anak guamnya diringankan dengan alasan tiada sebarang senjata telah digunakan dalam kejadian tersebut dan hanya melibatkan perbuatan menendang motosikal.

Tertuduh juga telah insaf selepas berada dalam tahanan selama 38 bulan, selain dia hanya memperoleh pendidikan sehingga tingkatan tiga kerana ingin membantu ibunya berniaga, manakala bapanya telah berpisah dari keluarganya itu sejak usianya cuma tiga tahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Azfar Mahmod bagaimanapun menegaskan kepentingan awam dan mangsa perlulah diletakkan lebih tinggi berbanding kepentingan tertuduh, selain perbuatan tertuduh disifatkan kejam dan pengecut kerana mangsa hanyalah seorang warga emas.

Katanya, tertuduh juga tidak mempunyai sifat berperikemanusiaan kerana membiarkan mangsa nazak sehinggalah mayatnya ditemukan dalam tempoh dua hari kemudian. – KOSMO! ONLINE

The post Mengaku bunuh warga emas tanpa niat ketika samun bersama kekasih appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved