Adik tetak abang guna parang di kebun durian

23 Jun 2026 • 1:27 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Adik tetak abang guna parang di kebun durian
Mangsa dibawa ke hospital untuk rawatan laniut.
Image from: Adik tetak abang guna parang di kebun durian
Mangsa mengalami kecederaan parah selepas ditetak adik kandungnya dalam kejadian pada Ahad lalu.

GEORGE TOWN – Seorang lelaki warga emas berusia 65 tahun parah selepas dipercayai ditetak sebanyak tiga kali oleh adik kandungnya dalam kejadian di sebuah rumah kebun buah-buahan di Paya Terubong, Air Itam pada petang Ahad lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa dikatakan pergi ke kebun durian miliknya sebelum mendapati pelbagai barangan di rumah kebun berkenaan mengalami kerosakan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, mangsa mengesyaki kerosakan tersebut dilakukan oleh suspek yang juga adik kandungnya berusia 62 tahun.

Menurutnya, mangsa kemudian menegur suspek berhubung perkara itu sebelum berlaku pertengkaran mulut antara mereka.

**media[3559747]**

“Semasa pertengkaran tersebut, suspek dipercayai mengambil sebilah parang lalu menetak mangsa sebanyak tiga kali sebelum melarikan diri dari lokasi kejadian.

“Akibat serangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan kini menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, pihak polis menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 3.50 petang sebelum menjalankan siasatan dan operasi mengesan suspek.

Menurutnya, hasil tindakan pantas polis dengan bantuan Unit Pengesan K-9 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, suspek berjaya ditahan pada jam 6.30 petang hari yang sama di belakang rumah lokasi kejadian.

“Suspek telah direman selama tujuh hari bermula 22 hingga 28 Jun bagi membantu siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah menggunakan senjata berbahaya serta Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994," ujarnya.

Abdul Rozak menambah, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved