Abang parah ditetak adik di kebun durian

23 Jun 2026 • 6:55 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Abang parah ditetak adik di kebun durian

GEORGE TOWN, 23 JUN: Lelaki warga emas berusia 65 tahun parah selepas dipercayai ditetak adik kandungnya dalam kejadian di sebuah rumah kebun di Paya Terubong, Air Itam di sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Abdul Rozak Muhammad berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian pada 3.50 petang itu oleh orang awam sebelum menjalankan siasatan di lokasi.

Beliau berkata siasatan mendapati mangsa pada mulanya dikatakan datang untuk melawat kebun durian miliknya sebelum mendapati beberapa barangan di rumah kebun itu rosak dan mengesyaki ia dilakukan suspek.

“Mangsa kemudian menegur suspek berhubung kerosakan tersebut sebelum berlaku pertengkaran mulut antara mereka dan suspek mengambil sebilah parang lalu menetak mangsa tiga kali sebelum melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata akibat kejadian itu mangsa parah dan kini menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Abdul Rozak berkata bertindak atas maklumat, polis menahan suspek lelaki berusia 62 tahun pada 6.30 petang hari sama di belakang rumah kebun terbabit dengan bantuan Unit Pengesan (K9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.

“Suspek direman tujuh hari hingga 28 Jun bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved