
ANAK kedua pasangan Ismanira Abdul Manaf dan Zaim Ikhwan Zahari juga disahkan autisme.
Hal berkenaan dikongsikan peguam bela, Haresh Mahadevan, ketika sesi mitigasi peguam untuk mengurangkan hukuman dalam bentuk denda sahaja tanpa pemenjaraan selepas dia mendapati bersalah mengabaikan Zayn Rayyan.
Tidak hanya itu, Ismanira juga dilihat menangis teresak-esak ketika nama anak keduanya itu disebut Haresh.
Memetik Sinar Harian, Haresh juga menyentuh mengenai perkembangan kesihatan si kecil itu yang kini dijaga oleh keluarga saudaranya.
Tangisan Ismanira semakin kuat sehingga memaksa ibu mentuanya, yang juga ibu kepada suaminya Zaim Ikhwan Zahari, 30, menghulurkan tisu untuk menenangkan beliau.
Dalam hujahannya, Haresh memohon agar anak guamnya dikenakan hukuman denda sahaja dan bukan hukuman penjara kerana ia boleh menjejaskan keadaan anak bongsu mereka yang juga merupakan seorang kanak-kanak istimewa.
“Anak kedua pasangan ini juga menghidap autisme, seperti Zayn Rayyan.
“Disebabkan kes ini, Ismanira hanya dibenarkan bertemu anaknya kurang daripada 48 jam seminggu.
“Malah, ketika pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat mengambil kanak-kanak itu, dia menangis dan berpaut kuat pada ibunya kerana enggan dibawa ke lokasi lain,” katanya.
Tambah beliau, kanak-kanak yang menghidap autisme lazimnya sukar memahami perubahan drastik dan boleh mengalami kemurungan sekiranya dipisahkan daripada ibu bapa tanpa persediaan emosi yang sesuai.
Justeru itu, katanya, hukuman penjara hanya akan memburukkan keadaan dan memberi kesan psikologi yang serius kepada anak tersebut.
“Mengikut peruntukan undang-undang, bagi kes seumpama ini, hukuman penjara bukan bersifat mandatori dan mahkamah mempunyai budi bicara untuk mengenakan hukuman denda,” katanya.
Bagaimanapun, Hakim Dr Syahliza Warnoh menolak permohonan Ismanira untuk menangguhkan hukuman penjara sementara menunggu rayuan, dengan alasan tiada faktor istimewa yang boleh membolehkan penangguhan diberikan.
Sumber: Sinar Harian
Autisme atau Autism Spectrum Disorder (ASD) adalah gangguan perkembangan saraf yang mempengaruhi kemampuan seorang kanak-kanak di dalam interaksi sosial, tingkah laku dan cara berkomunikasi.
Kajian oleh Centers of Disease Control and Prevention (CDC) mendedahkan satu daripada 36 orang kanak-kanak di Amerika Syarikat disahkan menghidap autisme.
Di Malaysia pula, Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia memberitahu kira-kira satu daripada 68 bayi yang baru lahir mengalami gangguan tersebut.
Ini bermakna setiap tahun Malaysia dianggarkan mempunyai 9000 kanak-kanak autisme.
Peningkatan jumlah tersebut menimbulkan tanda tanya sama ada kaedah diagnostik yang berkesan atau kesedaran masyarakat berkenaan Austisme sudah meningkat.
Bagi mengupas topik ini dengan lebih lanjut, kami bawakan Pensyarah Kanan / Ahli Psikologi Klinikal, Pusat Kajian Psikologi Dan Kesejahteraan Manusia (PsiTra), Fakulti Sains Sosial Dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Hilwa Abdullah @ Mohd Nor.
#DoktorDanAnda
#DNA
#sinarplus
#sinarharian">

