TXCD peroleh 2 subkontrak berjumlah RM57 juta projek pembinaan bangunan di Cheras

LocalBusiness & Finance
1 Jul 2026 • 2:20 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

TXCD peroleh 2 subkontrak berjumlah RM57 juta projek pembinaan bangunan di Cheras Image from: TXCD peroleh 2 subkontrak berjumlah RM57 juta projek pembinaan bangunan di Cheras amree01/07/2026 - 14:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 30 JunTXCD Berhad meraih dua surat penganugerahan (LOA) subkontrak berjumlah RM57.09 juta, yang memperkukuh aliran pendapatan kumpulan bagi tempoh lebih dua tahun akan datang.

 

Tender itu daripada Sg Besi Construction Sdn Bhd (SBCSB) pada 30 Jun 2026 bagi melaksanakan kerja-kerja projek pembangunan di Lot 12, Seksyen 91, Jalan Lombong, Cheras, Mukim Bandar Kuala Lumpur.

 

Menurutnya dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kontrak pertama bernilai RM41.43 juta melibatkan pembinaan dan penyiapan bangunan utama, kerja infrastruktur serta mekanikal dan elektrikal (M&E).

 

"Sementara kontrak kedua pula bernilai kira-kira RM15.66 juta yang merangkumi pembekalan serta penghantaran konkrit, besi tetulang, BRC, simen dan peralatan M&E bagi projek sama," jelas TXCD.

 

Kontrak itu diterima anak syarikatnya, Ageson Kensetsu Sdn Bhd dan bermula pada 1 Julai 2026 dengan dijadualkan siap sepenuhnya menjelang 1 September 2028, melibatkan tempoh selama lebih dua tahun.

 

Bagi kontrak pembinaan, ia bertanggungjawab melaksanakan keseluruhan kerja termasuk pembinaan, pemasangan, ujian, pentauliahan, penyiapan serta pembaikan dalam tempoh liabiliti kecacatan.

 

TXCD_DagangNews2026

 

Subsidiari TXCD itu turut dipertanggungjawabkan melengkapkan reka bentuk projek, mendapatkan semua kelulusan dan permit pihak berkuasa serta memastikan pelaksanaan kerja memenuhi obligasi kontrak.

 

"Untuk kontrak pembekalan, Ageson menguruskan penyediaan dan penghantaran bahan binaan utama serta kelengkapan M&E, di samping ujian ke atas bahan dibekalkan mengikut spesifikasi projek," katanya.

 

Ujar kumpulan tersebut, SBCSB yang ditubuhkan pada 1997 merupakan syarikat pembinaan bangunan dan berpangkalan di Shah Alam, Selangor, dengan mempunyai modal saham terbitan sebanyak RM8 juta.

 

Dari sudut kewangan, TXCD menjangkakan dua LOA itu menyumbang secara positif kepada pendapatan masa hadapan, keuntungan sesaham serta aset bersih disatukan sepanjang tempoh pelaksanaan projek.

 

Pada masa sama jelasnya, kontrak berkenaan dijangka turut tidak akan memberi sebarang kesan terhadap modal saham terbitan atau pegangan saham pemegang saham utama syarikat tersebut sendiri.

 

"Lembaga pengarah kumpulan ini turut memaklumkan bahawa selain risiko operasi biasa dalam industri pembinaan, tiada faktor risiko material lain yang dikenal pasti mungkin boleh berlaku," tambahnya.

 

Justeru, TXCD berpandangan penerimaan  kontrak itu adalah demi kepentingan terbaik syarikat, selain tiada mana-mana pengarah ada sebarang kepentingan, dalam kontrak berkenaan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved