Adobe dan Canva Juga Akan Boleh Diakses Menerusi Gemini

TechnologyDigital
22 May 2026 • 1:05 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Adobe dan Canva Juga Akan Boleh Diakses Menerusi Gemini

Gemini kini bukan sekadar sebuah pembantu maya tetapi mempunyai kemampuan mengawal pelbagai ejen AI yang ditawarkan pihak ketiga. Selepas CapCut melakukan pengumuman mereka semalam, hari ini Adobe dan Canva juga mengesahkan pelbagai alatan mereka akan boleh diakses terus menerusi Gemini dalam masa terdekat.

Image from: Adobe dan Canva Juga Akan Boleh Diakses Menerusi Gemini

Imej yang dijana menggunakan model Nano Banana Google kemudian boleh disunting menggunakan ciri Magic Layers oleh Canva. Setiap elemen boleh disunting dengan memisahkannya kepada lapisan-lapisan tersendiri. Elemen seperti teks, latar belakang, objek dan banyak lagi boleh disunting satu persatu. Canva mengatakan ciri ini sedang diberikan kepada sebilangan kecil pengguna dengan ia akan dikembangkan kepada lebih banyak pengguna di masa hadapan.

Adobe pula mengatakan kelak ejen Firefly AI Assistant boleh diseru di dalam Gemini untuk melakukan pelbagai tugasan kreatif. Firefly AI Assistant yang diumumkan April lalu  boleh melaksanakan aliran kerja kompleks merentasi perisian Photoshop, Premiere, Illustrator, Lightroom, Express dan Firefly. Pengguna hanya perlu memberikan arahan kepada Firefly AI Assistant dan ia akan kemudiannya menghasilkan karya secara automatik menggunakan perisian Adobe sedia ada. Pada waktu ini Adobe tidak memberikan garis masa bila ciri ini akan boleh digunakan di dalam Gemini.