Adobe Photoshop dan Illustrator Dikemaskini Dengan Beberapa Lagi Ciri AI Baharu

TechnologyDigital
24 Jul 2024 • 6:55 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Hari ini Adobe telah mengemaskini perisian Illustrator dan Photoshop dengan memperkenalkan ciri baharu yang sekaligus memperkayakan lagi fungsi dalam kedua-dua perisian berkenaan. Ciri AI yang ditambah menerusi kemas kini ini dilihat sebagai salah satu usaha Adobe untuk memanfaatkan kebolehan generatif AI bagi menjimatkan masa dalam proses suntingan.

Antara ciri baharu yang tersedia dalam Photoshop ialah Selection Brush Tool, Adjustment Brush Tool, Text To Image serta beberapa lagi ciri dengan pendekatan AI yang tersedia.

image is not available

Adobe Photoshop

Selection Brush Tool

Dengan menggunakan ciri Selection Brush Tool, kawasan yang dimahukan boleh dipilih tanpa lagi perlu menggunakan Quick Mask Mode. Menerusinya, tetapan berus boleh dilaraskan mengikut kesesuaian untuk hasil suntingan yang lebih kemas dan lancar.

image is not available

Adjustment Brush Tool

Ciri Adjustment Brush Tool juga tersedia dengan ia membolehkan berus pelarasan ditetapkan kepada tahap kecerahan, saturasi dan sebagainya yang membolehkan suntingan dapat dilakukan dengan lebih terperinci dan tampak realistik.

image is not available

Text To Image

Kemudian, ciri Text To Image pula kini sudah boleh digunakan tanpa perlu memuat turun versi Beta. Ciri ini kini boleh menjana sehingga puluhan pilihan gambar hanya dalam beberapa minit. Sekiranya anda memiliki rupa dan gaya tertentu yang dimahukan dalam hasil gambar yang hendak dijana, anda boleh memuat naik imej rujukan untuk membolehkan ciri berkenaan menyesuaikannya dengan kemahuan anda.

image is not available

image is not available

Adobe Illustrator

Seterusnya, model Firefly Vector (beta) kini telah tersedia dalam Adobe Illustrator yang boleh menjana ciri Generative Shape Fill, Enhanced Text To Pattern. Terdapat juga beberapa inovasi tambahan seperti Mockup (beta).

Generative Shape Fill (Beta)

Ciri ini dapat membantu mempercepatkan proses kerja suntingan dengan ia membolehkan pengguna mengisi bentuk dengan perincian dan warna dalam gaya yang dimahukan tanpa perlu lagi bersusah-payah dan mengambil masa berjam-jam untuk melakukan suntingan. Bukan itu sahaja, terdapat juga pilihan seperti 3D, geometri, seni piksel dan banyak lagi yang boleh dipilih untuk disesuaikan dengan kemahuan hasil rekaan yang dimahukan.

image is not available

Enhanced Text To Pattern

Ciri Enhanced Text To Pattern ini juga dikuasakan oleh model Firefly Vector terkini dengan membolehkan ia mencipta pelbagai jenis corak vektor. Jana corak yang dimahukan hanya dengan beberapa klik sahaja sekaligus membantu mempercepatkan lagi proses kreatif disamping memastikan hasil suntingan yang benar-benar memuaskan dapat dihasilkan.

image is not available

Mockup (Beta)

Inovasi tambahan seperti ciri fungsi Mockup (beta) pula membolehkan rekaan prototaip dengan visual berkualiti tinggi dapat dicipta dengan mudah pada sebarang permukaan objek. Misalnya seperti pembungkusan barangan atau produk minuman, pakaian, kotak dan sebagainya. Diyakini dengan adanya fungsi seperti ini, ramai pereka grafik dan illustrator dapat menghela nafas lega kerana ciri ini pastinya dapat memudahkan kerja serta menjimatkan banyak masa.

image is not available

Kesemua kemas kini terbaru Adobe menerusi Adobe Illustrator dan Photoshop ini dilihat membolehkan pengguna mencipta, menyunting dan meningkatkan kreativiti dengan lebih cekap. Tambahan lagi, selain kemas kini ini, Adobe juga sedang mengusahakan beberapa lagi ciri AI baharu yang pastinya lebih menarik pada depan. Ini termasuklah penciptaan seni generatif, penyunting video yang lebih berkuasa dan pelbagai lagi.

Fokus berterusan kepada inovasi AI yang diusahakan oleh Adobe ini sekaligus meletakkan Adobe di barisan hadapan dalam menyediakan alat suntingan yang canggih dan berguna untuk semua pereka grafik dan penghasil kandungan di seluruh dunia.