
SHAH ALAM, 3 OGOS: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) menegaskan operasi menangkap anjing liar di Taman Teluk Gedung Indah, Klang baru-baru ini dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Datuk Bandarnya Dato' Abd Hamid Hussain berkata operasi itu dijalankan susulan banyak aduan diterima daripada penduduk berhubung ancaman anjing liar terhadap keselamatan awam, termasuk satu kemalangan yang menyebabkan mangsa kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).
"Aduan diterima membabitkan kejadian di Jalan Sungai Sama Gagah 19B pada 13 dan 14 Julai lalu sebelum operasi dilaksanakan pada 29 Julai bermula jam 8.30 malam hingga 12 tengah malam.
"Pegawai dan kakitangan saya telah mematuhi SOP yang ditetapkan KPKT dengan menggunakan peralatan seperti gegelung dan jaring.
"Insiden kematian anjing itu berlaku akibat perebutan ketika operasi dijalankan, bukannya disebabkan kaedah tangkapan," katanya ketika ditemui di perkarangan Dewan Annexe, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.
Jelasnya, operasi berkenaan membabitkan 11 anggota MBDK bersama kira-kira 50 penduduk serta anggota Kawasan Rukun Tetangga (KRT), sekali gus berjaya menangkap 12 ekor anjing liar.
"Masalah anjing liar di kawasan itu agak kritikal, justeru MBDK bersama KRT mengadakan operasi khas. Sebelum operasi bermula, semua petugas dan penduduk yang terlibat telah diberikan taklimat mengenai kaedah tangkapan mengikut SOP," katanya lagi.
Menurutnya, insiden melibatkan anjing ke-13 berlaku apabila seorang wanita yang mengaku sebagai pemilik bertindak merebut haiwan itu ketika proses tangkapan sehingga menyebabkan anjing berkenaan terjerut dan mati.
"Berlaku perebutan apabila wanita itu mendakwa anjing tersebut miliknya. Kejadian itulah yang menyebabkan anjing berkenaan terjerut sehingga mati," ujarnya.
Abd Hamid berkata wanita terbabit kemudian menafikan anjing itu miliknya, manakala semakan mendapati tiada lesen dikemukakan bagi membuktikan pemilikan haiwan berkenaan.
"Jika tiada gangguan terhadap operasi, kami percaya kejadian itu tidak akan berlaku. Sekiranya benar anjing itu mempunyai pemilik, tuntutan boleh dibuat kepada pihak majlis mengikut prosedur yang ditetapkan," katanya.
Beliau berkata dua pegawai MBDK telah dipanggil bagi membantu siasatan polis, manakala pihaknya menyerahkan sepenuhnya siasatan lanjut kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Dalam pada itu, Abd Hamid memaklumkan MBDK menerima kira-kira 50 aduan berkaitan anjing liar setiap bulan di seluruh kawasan pentadbirannya.
Katanya, kekurangan anggota penguat kuasa serta kesukaran mendapatkan syarikat swasta bagi menjalankan kerja tangkapan menyebabkan MBDK mengambil pendekatan bekerjasama dengan penduduk bagi mempercepatkan tindakan di lokasi aduan.
"Anjing liar bukan sahaja mengganggu penduduk, malah pelajar dan penghantar makanan. Sebab itu kita bekerjasama dengan penduduk bagi mengenal pasti lokasi serta membantu melaksanakan operasi dengan lebih berkesan," katanya.






