
KUANTAN: Sokongan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kepada kepemimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bukan atas faktor peruntukan, sebaliknya berlandaskan komitmen untuk bekerjasama dalam memastikan pembangunan dan kebajikan rakyat terus diberi keutamaan.
Wan Rosdy berkata, beliau menghargai sokongan ADUN Kuala Sentul, Datuk Jasri Jamaludin dan ADUN Lepar, Mohd. Yazid Mohd. Yunus terhadap kerajaan negeri serta menyifatkannya sebagai perkembangan yang menunjukkan kepentingan rakyat mengatasi perbezaan politik.
“Saya ucapkan terima kasih kepada mereka kerana memberi sokongan kepada kerajaan negeri dan kepada saya. Ini menunjukkan bahawa kita memang bekerja untuk rakyat Pahang. Politik ini kita letak perkara yang nombor dua, nombor tiga, nombor empat. Yang penting rakyat Pahang,” katanya selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, di sini hari ini.
Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa terbuka bekerjasama dengan mana-mana pihak demi kepentingan rakyat dan mengalu-alukan sekiranya lebih ramai wakil rakyat mahu memberikan sokongan kepada pentadbiran negeri.
“Kalau boleh ada ramai lagi nak sokong, lagi bagus. Kita mengalu-alukan,” katanya.
Sementara itu, Jasri berkata, sokongan berkenaan dibuat secara ikhlas dan kedua-dua ADUN tersebut komited bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam menyokong dasar serta program yang dilaksanakan demi kepentingan rakyat.
“Kita sudah declare sokongan kepada Menteri Besar Pahang. Kita committed bekerjasama dalam menyokong dasar-dasar dan program-program kerajaan negeri,” katanya ketika ditemui selepas persidangan itu.
Menurut Jasri, kerjasama itu terutama bagi memastikan pembangunan, kebajikan dan kesejahteraan masyarakat di DUN Kuala Sentul dan Lepar terus diberi perhatian.
Beliau berkata, pendirian berkenaan turut mendapat restu Biro Politik Bersatu yang dipengerusikan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas perkara berkenaan dibincangkan di peringkat Pusat.
Jasri berkata, beliau dan Yazid turut mempunyai memorandum persefahaman (MoU) dengan Menteri Besar Pahang, namun kandungan perjanjian berkenaan tidak didedahkan kepada umum.
Ditanya kemungkinan kerjasama itu diteruskan pada pilihan raya akan datang, Jasri berkata, perkara tersebut belum diputuskan kerana fokus mereka ketika ini adalah menjalankan amanah sehingga DUN dibubarkan, sambil tidak menolak sebarang kemungkinan pada masa depan. – UTUSAN
The post ADUN Bersatu sokong Kerajaan Pahang bukan kerana peruntukan appeared first on Utusan Malaysia.





