
SEREMBAN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2026 berjumlah RM40.35 juta selepas mendapat sokongan sebulat suara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim berkata, tambahan peruntukan itu diperlukan bagi memenuhi beberapa komitmen kewangan dan keputusan kerajaan negeri dalam tahun semasa.
Menurutnya, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM6.5 juta adalah bagi komitmen bayaran balik hutang kerajaan negeri kepada kerajaan Persekutuan manakala RM5.85 juta bagi bayaran pencen dan ganjaran susulan pembubaran DUN pada 5 Jun 2026.
“Sebanyak RM13 juta pula diperuntukkan bagi Bantuan Khas Kewangan bersamaan dua bulan gaji serta Bantuan Khas Kewangan Berasaskan Prestasi kepada penjawat awam.
“Selain itu, RM15 juta diperuntukkan bagi meneruskan kerja menaik taraf Masjid Negeri serta penyelenggaraan kemudahan masjid, surau dan tanah perkuburan Islam di Negeri Sembilan,” katanya pada sidang akhbar Pasca Persidangan Pertama (Khas) Penggal Pertama DUN Negeri Sembilan Ke-16, di sini hari ini.
Dengan tambahan itu kata beliau, jumlah belanja mengurus Negeri Sembilan bagi tahun ini meningkat daripada RM640 juta kepada RM680.35 juta.
Dari segi kedudukan kewangan, Ismail berkata, Negeri Sembilan mencatatkan lebihan sebenar RM203.2 juta pada 2025 manakala kutipan hasil mencapai RM785.2 juta atau 133.1 peratus daripada sasaran.
“Kedudukan itu memberikan asas yang baik untuk kerajaan negeri meneruskan pembangunan dan memenuhi tanggungjawab kepada rakyat.
“Hala tuju kita adalah jelas. Kita mahu Negeri Sembilan yang stabil, maju dan makmur, iaitu stabil daripada segi pentadbiran dan tadbir urus, maju melalui pembangunan ekonomi serta peluang yang lebih luas, dan makmur apabila manfaat pembangunan dapat dirasai oleh rakyat,” katanya.-UTUSAN.
The post DUN Negeri Sembilan luluskan tambahan peruntukan RM40.35 juta appeared first on Utusan Malaysia.






