KUANTAN- Sokongan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kepada Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismai bukan kerana peruntukan.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebaliknya berkata, keputusan ADUN Kuala Sentul, Datuk Jasri Jamaludin dan ADUN Lepar, Mohd Yazid Mohd Yunus itu dilihat lebih untuk rakyat.
Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak demi kepentingan rakyat malah mengalu-alukan sekiranya lebih ramai lagi dalam kalangan ADUN tampil memberikan sokongan kepada pentadbiran negeri.
"Saya ucapkan terima kasih kepada mereka atas sokongan ini dan ia menunjukkan bahawa kita memang bekerja untuk rakyat Pahang.
"Politik ini kita letak perkara yang nombor dua, nombor tiga, nombor empat kerana yang paling penting rakyat Pahang,” katanya ketika ditemui selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, di Wisma Sri Pahang di sini pada Khamis.
Sementara itu, Jasri berkata, Kemelut dalaman Perikatan Nasional (PN) dan perkembangan politik semasa antara punca mereka memilih untuk menyatakan sokongan kepada kerajaan Pahang.
Beliau berkata, politik itu sendiri dinamik dan semua tahu mengenai kemelut PN dan perkembangan politik semasa seperti berlaku di pilihan raya negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
"Keputusan ini bukan mustahil tapi praktikal demi memastikan pembangunan, kebajikan dan kesejahteraan masyarakat di kawasan (DUN) kami.
"Sokongan ini ikhlas dan saya sedia bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam menyokong dasar serta program yang dilaksanakan demi kepentingan rakyat," ujarnya.
Jasri menjelaskan, sokongan itu bagaimanapun hanya sehingga DUN dibubarkan.
"Untuk kerjasama seterusnya belum tahu, akan bincang dan ia bukan mutahil berlaku," ujarnya.
Timbalan Ketua Bersatu Pahang itu berkata, masa yang panjang diambil sebelum memutuskan untuk menyokong kerajaan Pahang kerana perlu meneliti keikhlasan kerajaan negeri dalam membantu rakyat.






