
ADUN BN, UMNO Negeri Sembilan Kekal Sokong Kerajaan Negeri Demi Kestabilan
PUTRAJAYA, 30 April (Bernama) -- Kesemua 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada UMNO dan Barisan Nasional (BN) di Negeri Sembilan bersetuju untuk terus menyokong Kerajaan Perpaduan di negeri itu bagi memastikan kestabilan politik terus terpelihara.
Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata keputusan itu dicapai hasil perbincangan bersama dengan semua wakil rakyat terbabit hari ini.
"Langkah yang diambil oleh kesemua ADUN itu pada asalnya berniat baik agar institusi diraja dan adat di Negeri Sembilan terus dihormati serta didukung oleh semua rakyat, khususnya wakil rakyat UMNO dan BN," katanya.
Ahmad Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata demikian selepas merasmikan serta menyaksikan majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman antara MyDigital ID Sdn Bhd dan Rakan Kerjasama Strategik.
Pengerusi BN itu berkata parti berkenaan di peringkat nasional menghormati pandangan ADUN berkenaan namun mereka akhirnya bersetuju untuk terus bersama dengan Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan agar tidak berlaku sebarang penggugatan demi kepentingan rakyat.
Baca juga:Ahmad Zahid juga berkata memandangkan Malaysia kini berdepan cabaran ekonomi global, semua pihak harus bersatu hati untuk mendukung hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mewujudkan kestabilan politik.
“Apa yang dihasratkan oleh Perdana Menteri ialah mewujudkan kestabilan politik demi untuk kita bersama-sama menghadapi apa yang disebut sebagai krisis global... demi kepentingan rakyat,” katanya.
Ditanya sama ada tindakan ADUN terbabit adalah langkah untuk menukar Menteri Besar, Ahmad Zahid berkata sebarang pertikaian harus diselesaikan melalui perbincangan.
“BN dan Pakatan Harapan mempunyai perjanjian 18 perkara... antara inti pati perjanjian itu ialah sekiranya terdapat sebarang pertikaian atau permasalahan, kita harus kembali ke meja perbincangan untuk mencapai penyelesaian," katanya. -- BERNAMA TAG: Ahmad Zahid Hamidi, ADUN, Negeri Sembilan, perbincangan, penyelesaian NMA SS3 NSM SBB






