SHAH ALAM - Seramai 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) digesa supaya tetap dengan pendirian menarik sokongan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun demi menjaga integriti parti.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, ini kerana alasan penarikan sokongan tersebut adalah kukuh dan perlu bagi mengelakkan negeri tersebut terus terheret dalam konflik politik yang berpanjangan.
“Saya berharap 14 ADUN BN kekal dengan keputusan mereka untuk menarik sokongan daripada Menteri Besar Negeri Sembilan.
“Alasan menarik sokongan adalah kukuh dan tindakan itu juga wajar,” katanya menerusi hantaran media sosial pada Khamis.
Puad menjelaskan, integriti UMNO akan terjejas teruk sekiranya keputusan sokongan itu ditarik balik.
“UMNO tidak boleh terseret dengan cara Aminuddin yang angkuh mahu terus jadi MB walaupun ia kerajaan minoriti.
"UMNO mesti dilihat tegas, berprinsip, hormat pada adat, mengikut prinsip perlembagaan, demokratik dan mengutamakan kestabilan," katanya.
Sinar Harian pada Isnin melaporkan, Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias mengumumkan 14 ADUN UMNO-BN sebulat suara hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Aminuddin.
Jelasnya, keputusan itu dibuat susulan krisis yang membabitkan institusi adat dan perlembagaan negeri.






