
KANGAR – Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis disaran mengambil pendekatan berhemah dan tidak membelakangkan institusi istana sekiranya berhasrat melakukan perubahan terhadap kepimpinan kerajaan negeri.
Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Datuk Hamdan Bahari berkata, sebarang hasrat untuk menukar Menteri Besar sebaik-baiknya dipersembahkan terlebih dahulu kepada Raja Perlis sebelum tindakan lanjut diambil.
“Negeri ini mempunyai Raja pemerintah. Justeru, adalah lebih baik sekiranya sebarang hasrat untuk menukar kepimpinan negeri dimaklumkan kepada pihak istana dan tidak membelakangkan institusi tersebut.
“Saya rasa antara jalan terbaik adalah dengan menghadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bagi menyatakan hasrat mereka sekiranya tidak lagi memberikan sokongan kepada Menteri Besar sekarang.
“Langkah itu juga memberi ruang kepada baginda untuk meneliti calon lain yang sesuai bagi menggantikan Menteri Besar sekiranya perlu,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas perkembangan terkini kedudukan Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah yang menerima surat penggantungan keahlian daripada Bersatu kerana didakwa melanggar disiplin parti.
Menurut Hamdan, kedudukan Abu Bakar sebagai Menteri Besar masih sah meskipun digantung keahlian parti, namun kelangsungan pentadbirannya bergantung kepada sokongan majoriti ADUN Perlis.
Katanya, dalam konteks politik semasa negeri ini, ADUN mempunyai hak untuk menentukan pendirian masing-masing sama ada mahu terus memberikan sokongan kepada Menteri Besar atau sebaliknya. – KOSMO! ONLINE
The post ADUN disaran menghadap Raja Perlis jika mahu tukar kepimpinan negeri appeared first on Kosmo Online.






