DUN Sarawak Dibubar Isnin, Buka Laluan Untuk PRN 

LocalPolitics
23 Oct 2026 • 7:23 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

DUN Sarawak Dibubar Isnin, Buka Laluan Untuk PRN 

KUCHING - Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak bakal dibubar pada Isnin, 26 Oktober 2026, bagi membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.

Perkara itu diumumkan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, hari ini di Kompleks Satria Pertiwi, Kuching.

Sebelum pengumuman itu dibuat, beliau telah menghadap Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, bagi mendapatkan perkenan untuk pembubaran DUN.

Menurut Abang Johari, pembubaran itu penting bagi membolehkan rakyat Sarawak memberikan mandat baharu kepada kerajaan negeri, selaras dengan tempoh penggal semasa yang semakin berakhir.

Beliau berkata, peluang perlu diberikan kepada rakyat untuk melaksanakan hak demokrasi mereka dalam memilih kerajaan baharu demi memastikan kesinambungan pembangunan dan kemajuan negeri.

Tarikh pembubaran DUN sebelum ini menjadi bahan spekulasi menjelang persidangan DUN Sarawak yang berlangsung dari 12 hingga 21 Oktober lalu.

Difahamkan, pihak berkaitan, khususnya pasukan keselamatan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), telah dimaklumkan mengenai perkara berkenaan sebagai persediaan menghadapi proses pilihan raya.

DUN Sarawak ketika ini mempunyai 82 kerusi, sekali gus menjadikannya antara dewan perundangan negeri dengan jumlah kerusi terbesar di Malaysia.

Bagaimanapun, jumlah kerusi dipertandingkan pada PRN kali ini dijangka kekal sebanyak 82 kerusi, memandangkan cadangan penambahan 17 kerusi yang diluluskan ketika persidangan DUN pada 2025 masih melalui proses kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya.

Proses tersebut dijangka mengambil masa kira-kira setahun, menyebabkan kerusi tambahan itu belum dapat dilaksanakan bagi pilihan raya akan datang.

Pada PRN Sarawak yang lalu, 18 Disember 2021, Gabungan Parti Sarawak (GPS) memenangi 76 daripada 82 kerusi dipertandingkan.

Sehingga berakhirnya persidangan DUN baru-baru ini, GPS yang terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) menguasai 80 kerusi.

Perkembangan itu menyusuli pembubaran Parti Sarawak Bersatu (PSB), yang sebelum ini mempunyai empat wakil rakyat. Pada 2025, anggota parti berkenaan menyertai PDP secara beramai-ramai.

Bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang, See Chee How, sebelum ini mengumumkan keluar daripada parti untuk berkhidmat sebagai wakil rakyat bebas, meskipun beliau masih mengekalkan hubungan baik dengan GPS.

PRN kali ini dijangka menjadi ujian penting terhadap sokongan rakyat kepada kepimpinan Abang Johari, yang menerajui Sarawak sejak 13 Januari 2017.

Beliau dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak keenam selepas kematian penyandang jawatan itu, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, pada 11 Januari 2017. - Getaran, 23 Oktober 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved