ADUN Gemas, Ridzuan ketua pembangkang N.Sembilan

Politics
9 Oct 2023 • 5:40 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

SEREMBAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemas Ridzuan Ahmad daripada Perikatan Nasional (PN) dilantik sebagai Ketua Pembangkang bagi sesi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Ke-15, kata Speaker DUN Datuk MK Ibrahim Abd Rahman hari ini.

MK Ibrahim dalam persidangan DUN berkata pihaknya menerima notis daripada Pengerusi PN Negeri Sembilan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menerusi surat kepada Setiausaha DUN pada 25 Sept lepas berhubung perkara berkenaan.

Ridzuan berkata barisan ADUN pembangkang di negeri akan memberikan komitmen sepenuhnya bagi membantu kerajaan negeri demi kesejahteraan rakyat.

“Walaupun hanya menang lima kerusi DUN di sini, kami akan berusaha menjadi pembangkang yang baik serta menyahut titah Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir terutamanya mengenai kos sara hidup, peluang pekerjaan dan pembangunan sama rata.

“Kami bukan mahu menjadi pembangkang yang mahu bertekak di dalam dewan, kami akan cuba membantu meningkatkan pembangunan bagi mencapai matlamat negeri maju seperti titah Tuanku Muhriz tadi,” katanya kepada pemberita selepas Persidangan Kedua (Perasmian) Penggal Pertama DUN Negeri Sembilan yang ke-15 di sini hari ini.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lepas, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) memenangi 31 kerusi DUN manakala PN meraih lima kerusi.-Bernama