Adun Kukusan harap PPR dipercepat

30 Nov 2022 • 3:52 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Usaha kerajaan negeri untuk memperhebatkan pembangunan daerah Tawau di pantai timur Sabah dijangka memacu manfaat ekonomi yang besar ketika Indonesia bersiap sedia untuk memindahkan ibu negaranya ke Kalimantan.

“Saya ingin memberi perhatian mengenai keperluan untuk menaik taraf lapangan terbang dan mempercepatkan rancangan pembangunan bandar pintar yang bakal menempatkan pusat pentadbiran daerah,” kata Adun Kukusan, Rina Jainal.

Beliau memuji kerajaan yang meningkatkan tumpuan untuk membangunkan Tawau bagi memperoleh manfaat ekonomi daripada pembangunan ibu kota baharu Indonesia yang dikenali sebagai Nusantara.

Sementara itu, Rina dalam sesi perbahasannya di Dewan Undangan Negeri (DUN) melahirkan harapan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dapat disegerakan bagi tujuan penempatan semula jajahan setinggan di sekitar Kukusan. Beliau berkata masih terdapat banyak penempatan setinggan yang didiami penduduk tempatan dan kebajikan mereka perlu diberi perhatian.

“Penyediaan perumahan yang sistematik, kondusif dan terancang untuk rakyat akan membantu menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi di kawasan setinggan berkenaan perparitan, kebersihan, keselamatan dan menyumbang kepada persekitaran sosial yang lebih positif untuk generasi muda,” katanya.

Rina turut menegaskan, walaupun Rumah Mesra SMJ kerajaan negeri merupakan inisiatif yang dipuji, namun inisiatif itu menghadapi isu pemilikan tanah memandangkan kebanyakan penduduk tinggal di kawasan setinggan.

“Jumlah keluasan tanah Kunak hanya kira-kira 8 kilometer persegi tetapi dengan kepadatan penduduk 30,000 orang.

“Walaupun begitu, hanya dua kampung yang diwartakan. Ini bermakna sebilangan besar penduduk miskin tegar tidak mempunyai pilihan selain tinggal di kawasan setinggan dan tidak memiliki tanah yang diperlukan untuk inisiatif Perumahan SMJ,” katanya.

Rina mencadangkan supaya pemohon Perumahan SMJ di Kukusan dipindahkan secara berkumpulan di atas tanah milik kerajaan yang dianggarkan seluas 1 hektar di Kukusan, dan dinamakan sebagai Taman Rumah Mesra SMJ.

Di samping itu, Rina berharap Kerajaan Negeri mengawal sepenuhnya kontrak keselamatan dan bekalan internet untuk sekolah-sekolah Sabah, yang akan mengurangkan birokrasi dan meningkatkan kecekapan. “Mengikut pemahaman saya, sistem kontrak keselamatan dan bekalan internet sekolah di Sabah diuruskan oleh syarikat di semenanjung,” katanya.

Melangkah ke hadapan, beliau menyebut bahawa program biasiswa kerajaan negeri (BKNS) perlu diberi perhatian.

Beliau berkata kelewatan pembayaran BKNS yang dikreditkan ke akaun pelajar mengecewakan penerima yang memerlukan dana untuk menghadapi kenaikan kos sara hidup.

Di samping itu, katanya, kerajaan negeri boleh menjalankan kajian atau menyemak keperluan PNGK daripada 2.5 hingga 3.0 untuk melahirkan graduan berkualiti dengan kebolehpasaran yang baik.

Alangkah baiknya jika keperluan BKNS diselaraskan dengan biasiswa lain, seperti JPA dan Petronas, jadi penerima akan menghargai dan memandang serius setiap bantuan yang diberikan oleh negeri mereka,” katanya.

Rina turut merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan negeri atas peruntukan RM5.83 juta untuk Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (Jhewa). “Saya pasti jumlah ini adalah rangsangan besar untuk program pembangunan wanita di negeri ini,” katanya sambil menyatakan RM10 juta untuk kemudahan pinjaman mikro.

“Kami berharap peruntukan ini dapat memartabatkan wanita di Sabah ke kedudukan yang lebih baik dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri,” katanya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.