ADUN Lamag 'bazirkan' masa berucap dengan menyanyi, kurangkan 'suhu' DUN Sabah

LocalPolitics
27 Apr 2026 • 7:20 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: ADUN Lamag 'bazirkan' masa berucap dengan menyanyi, kurangkan 'suhu' DUN Sabah
Mohd Ismail (kanan) bersama ADUN lain semasa hadir pada sidang DUN Sabah.

 

KOTA KINABALU - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag yang baharu, Mohd Ismail Ayob, mencuri perhatian dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada sesi petang Isnin, apabila memulakan ucapan sulungnya dengan menyanyikan lagu kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) lalu.

Mohd Ismail yang lebih dikenali sebagai Miha, terlebih dahulu memohon kebenaran Speaker DUN Sabah, Datuk Seri Kadzim M Yahya, untuk menggunakan tiga minit daripada 16 minit masa perbahasannya bagi menghiburkan dewan.

"Hari ini, saya melihat keadaan dalam dewan ini sekejap panas, sekejap sejuk, kadang-kadang keretanya laju, kadang-kadang keretanya lambat dan saya bazirkan masa saya tiga minit untuk menyanyi.

"Saya bazirkan masa saya, daripada 16 minit, tiga minit saya bazirkan untuk menyanyi supaya Ahli-Ahli Dewan boleh ‘release tension’ dan berhibur sedikit," katanya ketika membahaskan ucapan dasar Yang Dipertua Negeri.

Tindakan spontan itu mengundang gelak tawa dalam dewan, termasuk daripada Speaker serta ADUN Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Selepas menceriakan suasana, Mohd Ismail meneruskan ucapan dengan membawa isu-isu rakyat khususnya berkaitan kemudahan asas di kawasan luar bandar.

Beliau berkata, pembangunan infrastruktur dan utiliti perlu diberi keutamaan kerana ia merupakan keperluan asas rakyat.

"Sebelum ini telah membicarakan tentang perindustrian, inovasi digital dan kelisterian alam sekitar. Namun pada hari ini, saya ingin membawa dewan yang mulia ini kembali berbijak di bumi yang nyata.

"Saya ingin membawa suara rakyat dari warung-warung, dari kampung di pedalaman dan dari kawasan perumahan kos rendah. Saya ingin memfokuskan perbahasan saya kepada jantung dan urat nadi kehidupan rakyat, iaitu pembangunan infrastruktur asas dan keterjaminan utiliti.

"Sehebat mana pun wawasan pendigitalan dan pelaburan mega kita, ia tidak akan beri apa-apa makna kepada seorang ibu yang terpaksa bangun pada jam 3 pagi semata-mata untuk menadah air atau kepada anak-anak yang terpaksa belajar dalam kegelapan akibat catuan elektrik," katanya.

Beliau turut membangkitkan masalah bekalan air di beberapa kampung di kawasan DUN Lamag iaitu Kampung Balat, Kampung Sangau, Kampung Kulu-Kulu dan Kampung Lukan yang masih berdepan gangguan serius terutama ketika musim kemarau.

"Kita akui kerajaan hari ini mewarisi satu sistem prasarana air yang sudah uzur dengan paip-paip yang lama, yang sering pecah dan loji rawatan yang beroperasi melepasi kapasiti maksimum. Isu air tidak berhasil di Sabah yang masih berada pada kadar memimbangkan adalah kebocoran ekonomi yang paling kritikal.

"Ribuan liter air terawat yang menelan belanja jutaan ringgit terbuang begitu saja ke dalam tanah sebelum sempat ke meter pengguna sama ada akibat paip pecah ataupun penyambungan haram.

"Oleh itu, saya menyokong penuh inisiatif pembinaan dan menaik taraf loji-loji rawatan air di seluruh negeri. Namun, saya mendesak agar peruntukan yang besar terus disalurkan secara khusus kepada program penggantian paip utama.

"Bagi kawasan pedalaman yang sukar diakses oleh paip utama, saya mencadangkan agar kerajaan memperluaskan pembinaan sistem rawatan air hybrid berasaskan graviti dan tenaga solar agar penduduk kampung tidak lagi bergantung kepada air sungai yang semakin tercemar atau terpaksa menadah air hujan ketika musim kemarau.

"Hari ini di kawasan saya empat kampung yang mempunyai ramai penduduk berhadapan masalah bekalan air tidak sampai dan ketika kemarau melanda," katanya.

Menurutnya, beliau bersama Ahli Parlimen kawasan berkenaan terpaksa menggerakkan jentera sendiri bagi menghantar bekalan air bersih dan air mineral kepada penduduk terjejas.

Selain itu, Mohd Ismail memuji usaha kerajaan negeri mengambil alih kuasa kawal selia bekalan elektrik daripada kerajaan Persekutuan menerusi Suruhanjaya Tenaga Sabah, sambil menyifatkannya sebagai pencapaian bersejarah.

Namun, beliau mengingatkan isu bekalan elektrik tidak stabil di Pantai Timur masih perlu diberi perhatian, termasuk pengalaman gangguan bekalan selama seminggu pada September tahun lalu yang menjejaskan rakyat serta peniaga.

Dalam aspek jalan raya pula, beliau turut menegur berhubung pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) yang sedang berjalan di kawasannya di mana tiada pencahayaan di jajaran tertentu sehingga menyebabkan berlakunya kemalangan.

Beliau dalam pada itu turut menggesa kerajaan meningkatkan peruntukan menaik taraf jalan kampung serta menggantikan jambatan gantung dan jambatan kayu usang dengan struktur lebih selamat demi kemudahan rakyat luar bandar.

Mengakhiri perbahasannya, Mohd Ismail berkata pembangunan prasarana seperti air, elektrik dan jalan raya bukan sekadar projek politik, sebaliknya penentu masa depan rakyat Sabah.