Pemberian subsidi diesel kepada Sabah, Sarawak bukan bermotifkan politik

LocalPolitics
6 Apr 2026 • 2:42 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Azizah Mohd Dun

KOTA KINABALU - Veteran politik Sabah, Datuk Seri Azizah Mohd Dun menolak andaian segelintir pihak bahawa pemberian subsidi diesel kepada negeri di Borneo bermotifkan politik semata-mata.

Bekas Ahli Parlimen Beaufort itu berpandangan subsidi berkenaan merupakan hak Sabah dan Sarawak, memandangkan kedua-dua negeri tersebut antara penyumbang utama hasil bahan api negara.

Menurutnya, dakwaan bahawa pemberian subsidi itu bertujuan mengekalkan sokongan politik Sabah terhadap kerajaan Persekutuan adalah tidak berasas dan bersifat 'politiking' semata-mata.

"Ini terlalu banyak ‘politiking’lah. Bagi saya ini adalah hak kita. Tanya mana-mana pun, hasil ini daripada kita Sabah dan Sarawak. Jadi orang kata, secara natural kita dapat (semula subsidi).

"Kalau banding dari segi harga minyak, walaupun kita dapat subsidi dan harga lebih rendah daripada di Semenanjung Malaysia, tetapi barang-barang kita mahal kan. Produk pengguna yang dimakan oleh rakyat kita hari-hari, mahal,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa kos sara hidup di Sabah kekal tinggi disebabkan faktor logistik dan dasar sedia ada termasuk polisi kabotaj yang menyumbang kepada peningkatan harga barangan.

"Kalau kita tengok lagi daripada segi polisi kabotaj, kapal yang patut boleh terus datang ke sini perlu melalui Pelabuhan Klang sebelum ke sini, jadi mahal harga barang-barang kita.

"Jadi kita membayar barang-barang keperluan harian itu lebih mahal," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyentuh keperluan menambah jumlah kerusi Parlimen Sabah bagi memastikan perwakilan yang lebih adil, selaras dengan keluasan negeri serta keperluan rakyat di kawasan luar bandar.

Katanya, Sabah ketika ini mempunyai 25 kerusi Parlimen dan jumlah itu wajar ditambah bagi memperkukuh suara negeri, khususnya dalam memperjuangkan hak-hak Sabah di peringkat Persekutuan.

"Kalau kami mahu politik, ada lebih besar daripada itu lagi kami mahu. Kalau macam Sabah dikatakan istimewa, yang kami mahu mungkin lebih kerusi lagilah, tambah kerusi kami.

"Daripada 25 kerusi itu kita mahu tambah, kalau pun ada yang mengatakan kita tidak ramai populasi tetapi bagi saya kami besar.

"Negeri kami besar, daerah kami jauh. Jadi kami memerlukan wakil rakyat yang lebih ramai untuk dapat berkhidmat kepada rakyat yang berada di kawasan luar bandar.

"Jadi tambah kerusi kami, 10 lagi kerusi. Jadi kami boleh dapat 35. Kita sepatutnya satu pertiga, bergabung dengan Sarawak," katanya.

Sinar Harian dalam laporan muka hadapan pada Sabtu lalu melaporkan isu subsidi diesel di Sabah dan Sarawak terus menjadi perhatian, khususnya melibatkan keperluan mengambil kira faktor geografi, tahap pembangunan infrastruktur serta beban kos sara hidup yang dihadapi rakyat di kedua-dua negeri berkenaan.

Dunia ketika ini berdepan krisis tenaga yang semakin meruncing susulan konflik yang berterusan di Asia Barat, sekali gus memberi kesan kepada rantaian bekalan dan harga tenaga global.