ADUN Lantikan Gerakan diberi KPI sebulan jumpa semua NGO bukan Islam di Terengganu

LocalPolitics
16 Nov 2026 • 2:37 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: ADUN Lantikan Gerakan diberi KPI sebulan jumpa semua NGO bukan Islam di Terengganu
Dominic (tengah) dan Chee How (tiga dari kanan) merakam gambar bersama wakil Gerakan yang hadir pada Sidang DUN di Wisma Darul Iman pada Isnin.

​KUALA TERENGGANU - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan Terengganu daripada Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) diberi tempoh sebulan untuk bertemu semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bukan Melayu dan bukan Islam di negeri ini sebagai Petunjuk Prestasi Utama (KPI).

​Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, ketetapan itu dibuat supaya wakil parti berkenaan dapat segera turun padang dan berfungsi sebagai jambatan suara bagi golongan minoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu.

​Menurutnya, masa yang ada untuk berkhidmat tidak lagi panjang memandangkan DUN berkemungkinan akan dibubarkan selari dengan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

​"Kita telah menetapkan KPI kepada beliau dalam tempoh satu bulan ini, dia mesti berjumpa dengan semua NGO bukan Melayu dan bukan Islam, termasuk wakil-wakil agama bukan Islam.

​"Perkara ini penting kerana beliau kini menjadi jambatan suara untuk golongan minoriti. Jadi, saya berharap masyarakat dapat memberikan sokongan dan memaklumkan sebarang masalah kepada kita agar dapat diselesaikan bersama kerajaan Terengganu," katanya.

​Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas persidangan DUN di Wisma Darul Iman, di sini pada Isnin.

​Mengulas lanjut, Dominic berkata, peluang tersebut bukan sekadar satu penghargaan buat parti, sebaliknya merupakan tanggungjawab besar untuk membela nasib masyarakat bukan Melayu dan bukan Islam di negeri berkenaan.

​Jelasnya, walaupun komposisi masyarakat Cina di Terengganu hanya sekitar 1.8 peratus, suara kelompok minoriti itu tetap perlu diangkat dan diberi perhatian sewajarnya.

​"Terlebih dahulu, saya mewakili Gerakan ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Terengganu terutamanya Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar atas kepercayaan memberikan lantikan ini kepada parti kami.

​"Bagi Gerakan, ini bukan satu platform untuk kita bermegah-megah, tetapi satu tanggungjawab yang sangat berat dan besar khususnya dalam mewakili masyarakat bukan Melayu serta bukan Islam di Terengganu.

​"Ini adalah satu jambatan dan platform yang baik dan kita akan memastikan ADUN Lantikan kita terus berusaha keras," ujarnya.

​Dalam pada itu, beliau turut memuji kepimpinan kerajaan negeri di bawah Perikatan Nasional (PN) dan Pas yang berjaya memenangi kesemua kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu tanpa sebarang pembangkang, sekali gus membuktikan sokongan padu rakyat Terengganu.

​"Kejayaan ini bukan jatuh dari langit, tetapi hasil usaha Pas dan PN yang sentiasa mengutamakan rakyat. Kita akan kekalkan usaha ini, memperbaiki sebarang kelemahan serta terus mengutamakan rakyat jelata di Terengganu," katanya.

​Sementara itu, ADUN Lantikan yang baharu, Chan Chee How menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri serta Menteri Besar atas mandat dan kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk menggalas jawatan tersebut.

​Beliau turut menghargai kepercayaan pucuk pimpinan Gerakan dan berikrar untuk menjalankan tugas sebaik mungkin demi kemajuan negeri Terengganu.

​"Tugas utama saya selepas ini adalah membawa suara kaum bukan Islam ke dalam sidang DUN. Apa sahaja masalah yang mereka hadapi, saya akan cuba sedaya upaya untuk membantu dan menyelesaikannya.

​"Buat masa ini, antara fokus dan isu utama yang akan saya perjuangkan adalah berkaitan kebudayaan serta ekonomi masyarakat bukan Islam di negeri ini," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved