JOHOR BAHRU - Langkah meluluskan pelantikan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan di Johor dianggap tidak demokratik serta tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan.
Timbalan Pengerusi DAP kebangsaan, Nga Kor Ming berkata, Pakatan Harapan (PH) membantah keputusan tersebut yang jelas menjejaskan sistem demokrasi berparlimen negara.
Menurut beliau, PH akan melancarkan kempen mengumpul tandatangan daripada orang ramai sebagai tanda bantahan terhadap keputusan tersebut, dengan sasaran puluhan ribu sokongan yang akan digerakkan di seluruh negeri.
"Pindaan sedemikian sebenarnya bercanggah dengan Perlembagaan Pesekutuan. Perlembagaan Pesekutuan jelas memperuntukkan wakil rakyat perlu dipilih oleh rakyat. Sebab itu Perkara 43 Perlembagaan Pesekutuan jelas memperuntukkan wakil rakyat perlu dipilih oleh rakyat.
"Jelas Perlembagaan Perlembagaan adalah semua, wakil rakyat wajib dipilih oleh rakyat. Tidak boleh dilantik," katanya.
Beliau yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Karnival Hari Anggota Bomba Sedunia 2026 di pekarangan Plaza Angsana Mall Johor Bahru di sini pada Sabtu.
Tambah beliau lagi, kaedah tersebut seperti melalui 'pintu belakang' masuk dalam DUN dan ia jelas tidak demokrasi dan bimbang akan menjadi trend pada masa hadapan.
"(ADUN dilantik) tidak perlu berkhidmat. Tidak perlu dipilih. Namun menerima gaji dan elaun yang sama dengan ADUN atau wakil rakyat yang dipilih.
"Malah mereka yang tidak dipilih mempunyai kuasa yang sama untuk undi. Untuk bahas, untuk bangkit isu dalam Dewan Undangan Negeri," ujarnya.
Kor Ming berkata, pihaknya menyasarkan puluhan ribu tandatangan dan tempoh kempen mengutip tandatangan yang akan dimaklumkan secara terperinci oleh PH Johor.
Khamis lalu DUN Johor meluluskan rang undang-undang (RUU) pindaan berhubung cadangan mewujudkan jawatan lima ADUN lantikan dan undian untuk RUU tersebut memperoleh majoriti dua pertiga.
Menurut Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang membentangkan RUU tersebut, tujuannya juga untuk memperluas penyertaan pelbagai golongan dalam proses penggubalan dasar negeri.
Jelasnya, langkah itu bukan bertujuan politik semata-mata, sebaliknya memberi ruang kepada individu yang mempunyai kepakaran tertentu dan pengalaman luas untuk menyumbang kepada pembangunan negeri.






