JOHOR BAHRU – Pemuda UMNO Johor mencabar Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Nga Kor Ming supaya bersikap konsisten dalam isu pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan dengan mendesak wakil sama di negeri ditadbir Pakatan Harapan (PH) turut meletakkan jawatan.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO negeri, Noor Azleen Ambros berkata, kenyataan terbaharu Nga Kor Ming berhubung isu ADUN lantikan di Johor dilihat tidak konsisten serta bersifat selektif.
Menurutnya, prinsip yang dibangkitkan pemimpin DAP itu seolah-olah tidak diaplikasikan secara menyeluruh di negeri lain yang turut melibatkan wakil Pakatan Harapan.
“Pemuda UMNO Johor tertarik dengan kenyataan YB Nga Kor Ming berhubung isu ADUN lantikan di Johor yang telah diluluskan dalam sidang DUN pada 7 Mei 2026.
“Namun, apa yang dibantah di Johor juga wujud di negeri lain, tetapi tidak disentuh secara adil dan menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Sehubungan itu, beliau mencabar Nga Kor Ming supaya turut mendesak ADUN lantikan PH di Pahang dan Sabah untuk meletakkan jawatan sekiranya benar menolak konsep tersebut.
Menurutnya, antara nama yang disebut ialah Mohd Fadzly Mohd Ramly (Amanah) dan Rizal Jamin (PKR) di Pahang, manakala Grace Lee Li Mei (PKR) di Sabah.
“Jika prinsip yang dilaungkan benar-benar berasaskan keadilan dan ketelusan, maka ia tidak boleh berubah mengikut negeri atau kepentingan politik semasa,” katanya.
Noor Azleen turut menegaskan isu tersebut wajar dilihat secara menyeluruh tanpa dwistandard, demi memastikan ketelusan dalam amalan demokrasi di negara ini.






