SHAH ALAM – Kenyataan Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming berhubung cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan di Johor tidak konsisten dan hipokrit.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, pendirian Ahli Parlimen Teluk Intan itu juga sebenarnya mempunyai kaitan dengan kepentingan politik menjelang pilihan raya.
"Saya nak tanya, sekarang tak setuju sebab apa? Tapi sebelum ini ADUN lantikan PH (Pakatan Harapan) di Pahang setuju, terima pula.
"ADUN lantikan PH di Sabah pun setuju, terima walaupun DAP kosong (kerusi) di Sabah,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Sebelum ini Kor Ming mendakwa keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor meluluskan rang undang-undang (RUU) berhubung cadangan mewujudkan jawatan lima ADUN lantikan pada Khamis lalu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Justeru Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu memaklumkan, PH akan mengadakan kempen mengutip tandatangan rakyat Johor bagi membantah perkara tersebut, dalam waktu terdekat.
Dalam pada itu Muhamad Akmal meminta rakyat menilai sendiri sikap pemimpin berkenaan yang menurutnya menerima sesuatu perkara di satu tempat tetapi menolak perkara sama di lokasi lain.
"Jadi kepada Nga Kor Ming, janganlah hipokrit, janganlah bermuka-muka.
"Dekat kamu terima, boleh. Dekat lain tak boleh. Jadi, rakyat Malaysia, fahamlah. Ini sebenarnya perangai Nga Kor Ming," ujarnya.






