Adun Pitas, isteri dan anak peluk agama Islam

LocalPolitics
25 Aug 2026 • 4:51 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Adun Pitas, isteri dan anak peluk agama Islam

PITAS: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pitas Datuk Seri Ruddy Awah, 58, bersama isteri Datin Seri Asiah Udin, 56, dan anak bongsunya Aswady Ruddy, 24, secara rasmi memeluk agama Islam setelah melafaz dua kalimah syahadah di kediaman mereka di Kampung Salimpodon Laut pada pagi Ahad.

Lafaz syahadah mereka dipimpin oleh Mufti Kerajaan Negeri Sabah Datuk Dr Ustaz Bungsu @ Aziz Jaafar disaksikan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah merangkap Exco Agama Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Zainudin Aman.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri Datin Seri Juliah Salag turut hadir menyaksikan upacara penghijrahan tersebut.

Hadir sama beberapa pemimpin dan lebih 2,000 tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga, rakan-rakan dan penduduk Pitas.

Selesai lafaz syahadah, majlis penuh bermakna itu diserikan lagi dengan tazkirah ringkas, laungan azan, bacaan ayat suci Al-Quran serta selawat ke atas Nabi Muhammad SAW.

Pada majlis sama juga Ruddy turut memberi sumbangan kepada anak-anak yatim dari sekitar daerah terbabit.

Ruddy bersama isteri dan Aswady kemudiannya menunaikan solat fardu Zohor di surau yang telah dibina Ruddy di tepi kediamannya sejak tiga bulan lalu.

Solat Zohor itu menjadi solat fardu pertama Ruddy selepas memeluk Islam.

Ruddy berkata dia amat bersyukur kerana diberi hidayah dan petunjuk sehingga beliau sendiri secara sukarela dan terbuka hati untuk memilih Islam sebagai pegangan hidup setelah berpuluh tahun tidak menganuti sebarang agama atau pagan.

Berulang kali Ruddy menegaskan bahawa penghijrahan mereka sekeluarga sama sekali tidak ada paksaan mahupun tujuan lain termasuk kepentingan politik.

“Keputusan terbabit bukan disebabkan faktor politik, keluarga atau sebarang tawaran daripada mana-mana pihak sebaliknya lahir daripada keikhlasan hati selepas hidayah sampai.

“Percaya bahawa hidayah itu datang berkat doa ahli keluarga, rakan-rakan dan mereka yang mendoakannya ketika berada di tanah suci Mekah.

“Saya sering meminta agar mereka yang ke tanah suci mendoakan dan memanggil saya ke sana,” jelasnya.

Mengulas lanjut Ruddy memaklumkan dirinya dan isteri serta anak akan mengekalkan nama mereka seperti sedia ada.

Menurutnya tidak perlu risau kepada keluarga bukan Islam kerana beliau menjelaskan dirinya tetap Ruddy yang sama dan kekal terus berjuang untuk semua di kawasannya tanpa mengira bangsa dan agama.

Sementara itu Hajiji ketika ditemui media berkata beliau amat bersyukur dan gembira dapat menyaksikan sendiri majlis yang cukup bermakna itu.

“Kita yakin bahawa beliau telah mendapat hidayah daripada Allah SWT, jadi kita harus berikan beliau sokongan moral.

“Saya tidak mahu perkara ini dijadikan isu kerana ini adalah pilihan peribadi beliau.

“Perkara ini adalah antara dia dengan Allah,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved