SHAH ALAM – Perikatan Nasional (PN) Selangor menggesa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki segera mengemukakan permohonan maaf secara terbuka dan tanpa syarat kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah serta seluruh rakyat negeri ini susulan kenyataan serta tindakannya yang didakwa mencetuskan kegelisahan awam.
Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, titah Sultan Selangor yang menekankan kepentingan penghayatan Rukun Negara serta penghormatan terhadap institusi Raja Berperlembagaan perlu dipandang serius oleh semua pihak khususnya pemimpin politik.
Menurutnya, titah baginda bukan sekadar peringatan biasa, sebaliknya teguran tegas terhadap sikap segelintir pemimpin yang didakwa gagal memelihara batas adab dan tatasusila dalam sistem kenegaraan.
"Perkara ini tidak wajar dipandang ringan kerana ia menyentuh asas keharmonian dan kestabilan negeri serta negara," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Dalam masa sama, Mohamed Azmin menegaskan, PN Selangor turut menggesa Menteri Besar Selangor selaku ketua pentadbiran negeri mengambil tanggungjawab serta tindakan tegas, termasuk membawa perkara itu ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negeri Selangor.
Katanya, tindakan itu penting bagi memastikan institusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor tidak dilihat mengamalkan sikap pilih kasih dalam isu disiplin dan penghormatan terhadap institusi Raja Berperlembagaan.
"PN Selangor turut menegaskan kebebasan bersuara perlu disertakan dengan tanggungjawab, bukan digunakan untuk mencabar prinsip asas kenegaraan yang menjadi teras perpaduan negara.
"Semua pihak perlu kembali kepada semangat Rukun Negara dan menjunjung titah Sultan Selangor sebagai panduan demi memelihara keharmonian serta kestabilan negeri," tambah beliau.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan, Sultan Selangor menyarankan ADUN Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan bekas Exco Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew hadir seminggu sekali ke Dataran Selangor bagi menghayati prinsip Rukun Negara serta memahami kepentingan menghormati Institusi Raja dan menjaga adab kesopanan.
Baginda bertitah, langkah itu penting agar semua pihak khususnya pemimpin politik memahami nilai asas yang menjadi tunjang perpaduan dan keharmonian negara.
