Aeon beli tanah 10 hektar di Seremban 2, langkah strategik pengembangan jangka panjang - MIDF Research

Business & FinanceProperty
5 Jun 2024 • 9:36 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Aeon beli tanah 10 hektar di Seremban 2, langkah strategik pengembangan jangka panjang - MIDF Research

herman

05/06/2024 - 09:36

KUALA LUMPUR 5 Jun - MIDF Research menyifatkan pembelian dua bidang tanah oleh Aeon Co. (M) Berhad di Seremban 2 yang bernilai RM102.89 juta sebagai pembangunan jangka panjang positif buat syarikat peruncitan itu.

Menurut firma penyelidikan itu, pengambilalihan tanah berkenaan yang terletak bersebelajan Aeon Mall Seremban 2 sedia ada akan memudahkan pengembangan perniagaan runcit dan pengurusan hartanah (PMS) Aeon di Negeri Sembilan.

"Pengembangan strategik ini akan meningkatkan perniagaan runcit Aeon dengan meningkatkan pasar rayanya dan kedua, menyediakan lebih banyak ruang runcit untuk perniagaan pengurusan hartanahnya, meningkatkan pendapatan sewa yang diterima.

"Lokasi strategik tanah itu bersebelahan dengan Aeon Mall Seremban 2 sedia ada membolehkan pusat beli-belah baharu itu dihubungkan dengan lancar dengan pusat beli-belah semasa," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Aeon semalam memaklumkan Bursa Malaysia akan membeli dua bidang tanah di Seremban, Negeri Sembilan dengan harga RM102.89 juta daripada Real Attraction Sdn Bhd.

image is not available
Pusat beli-belah Aeon Seremban 2.

Tambah MIDF Research, pelan pembangunan di tanah berkenaan termasuk membina pusat beli-belah komersial dengan tempat letak kereta, gedung beli-belah dan pasar raya.

"Kami juga melihat pemerolehah tanah itu sebagai langkah penjimatan kos jangka panjang yang akan mengurangkan risiko kenaikan sewa.

"Pengambilalihan itu melibatkan 2.389 ekar (0.96 hektar) tanah pajakan komersial (tamat pada 8 Mac 2114, dengan 89 tahun 9 bulan) dan 20.663 ekar (8.36 hektar) tanah perniagaan pegangan bebas," jelasnya.

Sementara itu, firma penyelidikan itu berkata, pembinaan di tanah tersebut hanya boleh bermula selepas selesai proses pemindahan tanah dan kelulusan yang diperlukan dan ini mungkin mengambil masa lebih empat tahun.

Justeru, kata MIDF Research, pihaknya buat masa ini tidak membuat sebarang perubahan kepada ramalan pendapatan dan keseimbangan kewangan untuk tahun kewangan 2024-2026 (FY24-26).

"Mengekalkan saranan Beli dengan harga sasaran (TP) yang lebih tinggi sebanyak RM1.60 sesaham (dari RM1.52).

"TP yang disemak semula bagi Aeon Co sebanyak RM1.60 sesaham adalah berdasarkan PER ke hadapan sektor barangan bukan keperluan pengguna selama 3 tahun yang dikemas kini sebanyak 14.8x (dari 14.1x) disesuaikan dengan EPS FY25F yang tidak berubah sebanyak 10.8 sen," ujarnya.

Melangkah ke hadapan, MIDF Research optimis tentang prospek Aeon Co dalam jangka masa dekat hingga sederhana, terutamanya disokong oleh perbelanjaan luar rumah yang kukuh di tengah-tengah pasaran pekerjaan yang stabil dan prospek pendapatan di samping terdapat pelbagai inisiatif kerajaan, termasuk pelarasan gaji penjawat awam dan pengeluaran Akaun 3 KWSP yang mungkin meningkatkan perbelanjaan pada produk-produk penting di Aeon Co.

Faktor lain katanya, kadar penggunaan yang stabil dan pemulihan sewa yang menguntungkan untuk segmen pengurusan hartanah disebabkan oleh lonjakan aktiviti beli-belah secara langsung oleh pengguna.

"Kami juga menjangkakan sentimen pengguna yang lebih baik pada masa akan datang, mengambil kira kadar faedah yang kekal di Malaysia, bersama-sama dengan penangguhan subsidi bahan api berperingkat dan cukai barang mewah.

"Oleh itu, kami mengekalkan saranan Beli kami pada Aeon Co," katanya. - DagangNews.com