AfD mendahului pilihan raya negeri Jerman, Merz makin tertekan

WorldPolitics
21 Sep 2026 • 6:00 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: AfD mendahului pilihan raya negeri Jerman, Merz makin tertekan

BERLIN: Parti Alternative for Germany (AfD) berhaluan kanan jauh mendahului dalam pilihan raya negeri di timur laut Jerman menurut unjuran keputusan, sekali gus mencatatkan keputusan terburuk bagi parti konservatif arus perdana pimpinan Canselor, Friedrich Merz sejak 1949.

AfD dijangka memperoleh 38.3 peratus undi di Mecklenburg-Western Pomerania, mengatasi parti Demokrat Sosial (SPD) berhaluan kiri tengah dengan 35.4 peratus, menurut unjuran stesen televisyen awam ARD.

“Ini satu bencana,” kata Merz selepas keputusan tinjauan keluar diumumkan, namun beliau memberi isyarat akan terus menjalankan tugas sebagai canselor dan meneruskan agenda pembaharuannya selepas timbul spekulasi keputusan buruk itu boleh mendorongnya meletakkan jawatan.

Kedua-dua parti itu jauh mengatasi parti konservatif pimpinan Merz, yang dalam kiraan terbaharu hanya memperoleh 4.9 peratus, di bawah paras lima peratus yang diperlukan untuk memasuki Parlimen negeri dan menunjukkan parti itu mungkin tersingkir sepenuhnya.

Keputusan Ahad memberikan AfD kemenangan di tempat pertama bagi kali kedua di peringkat negeri bulan ini. Parti itu turut mendahului tinjauan pendapat di peringkat nasional, namun tidak diberi peluang membentuk kerajaan kerana parti-parti utama lain enggan bekerjasama dengannya.

Dalam satu lagi pilihan raya pada di ibu negara Berlin, parti berhaluan kiri jauh, Linke, memperoleh 25.3 peratus undi, manakala sokongan terhadap parti konservatif pimpinan Merz yang kini mentadbir negeri itu dalam gabungan dengan SPD, merosot kepada 19 peratus.

AfD turut meningkatkan sokongannya di bandar yang lazimnya liberal itu dengan memperoleh 16.3 peratus undi. Ini kali pertama Linke mendahului undian di negeri berkenaan, dengan parti itu mahu mengambil alih pemilikan perumahan daripada tuan tanah korporat dan mengehadkan kadar sewa.

Keputusan itu mungkin belum cukup untuk menjadi tamparan penamat kepada Merz, namun kadar sokongan rendah terhadapnya, pembaharuan yang tidak popular serta kemenangan AfD dalam pilihan raya negeri di Saxony-Anhalt sebelum ini menimbulkan persoalan mengenai masa depannya.

“Kerajaan persekutuan kini akan berdepan kesukaran lebih besar untuk mengumpulkan keberanian dan sokongan politik bagi melaksanakan program pembaharuan menyeluruh,” kata Presiden Institut Penyelidikan DIW, Marcel Fratzscher yang berpangkalan di Berlin kepada Reuters.

The post AfD mendahului pilihan raya negeri Jerman, Merz makin tertekan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved