
KUALA LUMPUR – Rakyat Melaka akan diberi ruang untuk menentukan rakan strategik terbaik bagi kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.
Beliau berkata, keputusan berhubung kerjasama dengan mana-mana parti politik hanya akan dibuat selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
“Melaka ini lain. Kita akan menyerahkan kepada rakyat untuk menilai siapakah rakan strategik yang terbaik untuk kerajaan negeri Melaka.
“Segala rundingan dengan mana-mana parti politik yang berminat untuk berada di pentas demokrasi Melaka hanya selepas pembubaran Dewan,” katanya ketika sidang akhbar di Pusat Dagangan dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.
Menurut beliau, setiap parti politik mempunyai hak untuk menentukan pendirian dan strategi masing-masing menjelang PRN berkenaan.
Dalam pada itu, Ab Rauf menegaskan UMNO akan mempertahankan kerusi yang dimenanginya dan tidak akan berkompromi untuk menyerahkan mana-mana kerusi berkenaan kepada parti lain.
“Kita pertahankan tempat kita. Parti-parti yang menang, mereka sendiri mempunyai jumlah kerusi. Kita pertahankan kerusi yang kita menang,” katanya.
Beliau berkata, tarikh pembubaran DUN akan diumumkan apabila tiba waktunya dan tempohnya tidak terlalu panjang atau terlalu pendek.
“Insya-Allah, tidak lama lagi. Bila tiba waktunya nanti saya akan (umumkan),” katanya.
Katanya, kekuatan UMNO juga perlu terus dibina sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), dengan matlamat mengembalikan parti itu sebagai kuasa dominan dalam politik tanah air. – KOSMO! ONLINE
The post Biar rakyat tentukan rakan strategik Melaka – Ab. Rauf appeared first on Kosmo Online.





