
JAKARTA – UMNO berharap keputusan Lembaga Pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dapat memberikan momentum kepada parti itu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perkembangan itu dilihat mampu menjadi faktor positif bagi UMNO dalam mengharungi landskap politik semasa.
“Saya harap sebegitu, menjadi faktor nilai tambah kepada geopolitik yang sedang berada di persada halaman politik ataupun landskap politik di negara kita, insya-Allah,” katanya pada sidang media selepas Sidang Kemuncak Halal 20 (H20) kelima di sini hari ini.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan memberikan pengampunan bersyarat kepada Najib dengan membenarkan beliau menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028.
Menurut Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri, pengampunan bersyarat itu yang diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-64 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya di Istana Negara, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta serta pematuhan syarat ditetapkan sepanjang tempoh tahanan di rumah.
Mengenai persiapan PRN Melaka, Ahmad Zahid yang juga berkata beliau telah memberikan mandat kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh untuk mengadakan perbincangan dengan mana-mana gabungan parti politik.
Mengulas mengenai calon yang akan diketengahkan dalam PRN itu, beliau berkata senarai nama akan dikemukakan BN Melaka sebelum diteliti berdasarkan laporan daripada pelbagai pihak, manakala ADUN yang menunjukkan prestasi baik seboleh-bolehnya akan dikekalkan.
“Kita mempunyai prinsip WALI, winnable, acceptable and likeable candidate, supaya boleh menang itu memihak kepada gelombang biru yang sedang melanda di seluruh negara bermula di Johor dan Negeri Sembilan,” katanya.
Pada PRN Melaka 2021, BN memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN, manakala Pakatan Harapan (PH) memperoleh lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi. – Bernama
The post Pengampunan Najib beri momentum BN hadapi PRN Melaka appeared first on Kosmo Online.






