
PETALING JAYA: Johor Darul Ta’zim (JDT) terus memperkemaskan skuad menjelang saingan Liga Malaysia (Liga M) 2026-2027 apabila mengumumkan bekas pemain Harimau Malaya, Gabriel Palmero sebagai rekrut terbaharu Harimau Selatan.
Kehadiran pemain pertahanan kiri berusia 24 tahun itu diumumkan JDT menerusi video berdurasi 36 saat yang dimuat naik di laman sosial rasmi kelab, semalam
Dalam satu lagi hantaran di laman sosial rasmi JOHOR Southern Tigers, kelab berkenaan menyambut pemain kelahiran Sepanyol itu.
“Welcome to the Home of Champions, Gabriel Palmero, Hidup Johor Demi Johor,” kata kenyataan tersebut.
Palmero bukanlah nama asing dalam kancah bola sepak tempatan, malah sebelum ini dia antara tujuh pemain yang dikenakan penggantungan selama 12 bulan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) selepas didapati terbabit dalam kes pemalsuan dokumen.
Pemain berusia 24 tahun itu pernah menyertai Kuching City pada Februari lalu dan sempat beraksi dalam saingan Liga M selepas Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) menangguhkan pelaksanaan hukuman penggantungan berkenaan.
Bagaimanapun, CAS pada Mac lalu memutuskan hukuman terhadap Palmero dan enam pemain lain iaitu Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal serta Hector Hevel dikekalkan.
Hukuman berkenaan bagaimanapun dikurangkan apabila penggantungan hanya dikenakan terhadap perlawanan rasmi dan tidak meliputi semua aktiviti berkaitan bola sepak.
Kehadiran Palmero menambah lagi pilihan JDT di bahagian pertahanan ketika juara Liga M itu terus memperkuatkan pasukan menjelang musim baharu yang akan membuka tirai pada 21 Ogos ini.
Sehari sebelum itu, JDT terlebih dahulu memperkenalkan Matias Nahuel sebagai ‘senjata’ baharu mereka, selain turut mengesahkan kemasukan Carlos Akapo, Stoichkov, Brad Tapp, Shahab Zahedi, Dejan Petrovic dan Kevin Medina. – UTUSAN
The post Palmero tambah sengat JDT appeared first on Utusan Malaysia.





