
KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur City (KL City) FC dijangka terus menjadi pencabar utama Liga Malaysia (Liga M) musim 2026/2027 selepas kelab itu bebas daripada sebarang tunggakan gaji.
Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Syed Yazid Syed Omar berkata, kehadiran Penaung KL City FC, Datuk Seri Fahmi Fadzil disifatkan sebagai antara faktor penting kepada usaha memartabatkan semula bola sepak Kuala Lumpur.
Menurut beliau, di bawah peranan Fahmi sebagai penaung sejak 2024, KL City berjaya menguruskan kewangan dengan lebih tersusun sehingga semua pembayaran gaji pemain dan pegawai dapat diselesaikan mengikut jadual tanpa sebarang tunggakan.
“Alhamdulillah, kesemua pembayaran gaji berjaya diselesaikan. Ini bermakna sepanjang musim 2025-2026, semua gaji pemain dan pegawai berjaya dibayar sepenuhnya tanpa sebarang tunggakan.
“Keadaan ini jelas membuktikan keprihatinan serta rasa tanggungjawab tinggi Fahmi terhadap kebajikan setiap pemain dan pegawai pasukan. Beliau sentiasa memastikan mereka dapat memberikan sepenuh fokus kepada prestasi di atas padang tanpa dibebani isu kebajikan,” katanya.
Syed Yazid berkata, perkembangan itu memberikan keyakinan kepada penyokong The City Boys apabila kestabilan kewangan berjaya dikekalkan, sekali gus meletakkan KL City sebagai pasukan yang mengutamakan kebajikan pemain dan pegawai.
Menurut Syed Yazid, hubungan erat Fahmi dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Datuk Bandar Kuala Lumpur turut membawa manfaat besar kepada pembangunan bola sepak Kuala Lumpur.
Katanya, hubungan baik itu membolehkan pelbagai perkara berkaitan pembangunan pasukan dibincangkan secara lebih berkesan, termasuk usaha mendapatkan pertimbangan DBKL bagi meningkatkan peruntukan tahunan KLFA.
“Sudah tentu sokongan tambahan daripada DBKL akan memberikan impak yang besar kepada pembangunan bola sepak Kuala Lumpur pada masa depan,” katanya.
Mengulas lanjut, Syed Yazid berkata, kestabilan dalam pasukan memberi impak besar kepada pembangunan bola sepak negara apabila KL City menjadi antara kelab yang melahirkan pemain berkualiti untuk skuad Harimau Malaya.
“Contoh paling jelas ialah Paulo Josué yang berkembang sebagai antara tonggak utama KL City sebelum berjaya menyarung jersi Harimau Malaya. Ini membuktikan apabila sesebuah kelab diurus dengan baik dan kebajikan pemain dijaga, ia bukan sahaja memberi manfaat kepada kelab, malah turut menyumbang kepada kekuatan pasukan kebangsaan,” katanya.-UTUSAN
The post Fahmi pastikan KL City bebas tunggakan gaji appeared first on Utusan Malaysia.




