KUALA NERUS – [DIKEMAS KINI] "Kami mandi berempat, tiba-tiba seorang daripada kami hanyut. Kami bertiga cuba selamatkan dia"
Demikian detik cemas diceritakan Nurul Ain Fatihah Mohd Zamri, 12, salah seorang mangsa yang terselamat dalam tragedi di Sungai Jeram Pasar, Kampung Jeram Hulu, di sini pada Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, dua beradik seibu hilang dan ditemui lemas selepas cuba menyelamatkan rakan mereka yang dibawa arus.
Mangsa yang hilang dikenali sebagai Nur Afiqah Shahirah Mohd Shawalluddin, 15, dan adiknya, Nur Shahila Shahirah Azman, 12.
Menceritakan semula kejadian itu, Nurul Ain Fatihah berkata, mereka berempat keluar dari rumah sekitar jam 2.30 petang sebelum menuju ke sungai tersebut untuk mandi-manda.
Bagaimanapun, suasana kegembiraan bertukar menjadi tragedi apabila rakan mereka, Noor Shaqira Abdul Fatah, 12, secara tiba-tiba dihanyutkan arus sungai.
Melihat keadaan itu, Nurul Ain Fatihah bersama dua beradik tersebut cuba memberi bantuan, namun malangnya kedua-dua beradik itu pula hilang daripada pandangan, manakala Nurul Ain Fatihah berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung.
Seorang lagi mangsa, Noor Shaqira yang berjaya diselamatkan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.
Mayat Nur Afiqah Shahirah Mohd Shawalluddin, 15, dan adiknya, Nur Shahila Shahirah Azman, 12, ditemui oleh Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) pada jam 6 petang.
Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Baharum Hashim berkata, kedua-dua mangsa ditemui berdekatan pada kedalaman empat meter di dasar sungai.
"Mayat kedua-dua beradik itu dijumpai pada jarak 20 meter dari lokasi mereka dilaporkan hilang," katanya.


