KUALA NERUS – Kegembiraan empat remaja melakukan aktiviti mandi-manda di Sungai Jeram Tokong bertukar tragedi apabila dua daripada mereka dikhuatiri lemas dalam kejadian pada petang Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, dua lagi rakan mangsa bagaimanapun dilaporkan berjaya diselamatkan oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerus, Azmi Omar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden tersebut pada jam 3.11 petang.
"Seramai 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerus dengan bantuan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Kuala Terengganu telah dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Laporan awal mendapati terdapat empat remaja berusia belasan tahun sedang mandi di sungai berkenaan sebelum ditimpa musibah.
"Dua mangsa telah diselamatkan oleh orang awam dan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut, manakala dua lagi mangsa dipercayai masih hilang," katanya di sini pada Selasa.
Menurut kenyataan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah dilancarkan sejurus jentera pertama tiba di lokasi pada jam 3.22 petang.
"Tindakan anggota ketika ini adalah melakukan kerja-kerja pencarian di permukaan air (water surface searching) bagi mengesan kedudukan mangsa yang hilang.
"Pasukan bantuan PPDA turut tiba di lokasi pada jam 4.06 petang bagi memperkuatkan operasi pencarian di dasar sungai," katanya.
Sehingga kini, identiti kesemua mangsa masih dalam proses pengesahan dan operasi mencari dua lagi mangsa yang hilang masih diteruskan.
Logistik yang terlibat dalam operasi tersebut termasuk sebuah jentera LFRT, satu unit EMRS dan sebuah kenderaan PPDA.
