Dua beradik hilang selepas cuba selamatkan rakan dibawa arus

12 May 2026 • 6:22 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Dua beradik hilang selepas cuba selamatkan rakan dibawa arus
Nurul Ain Fatihah Mohd Zamri, 12, salah seorang mangsa yang terselamat dalam tragedi di Sungai Jeram Pasar, Kampung Jeram Hulu. mand

KUALA NERUS – "Kami mandi berempat, tiba-tiba seorang daripada kami hanyut. Kami bertiga cuba selamatkan dia"

Demikian detik cemas diceritakan Nurul Ain Fatihah Mohd Zamri, 12, salah seorang mangsa yang terselamat dalam tragedi di Sungai Jeram Pasar, Kampung Jeram Hulu, di sini pada Selasa.

​Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, dua beradik seibu dilaporkan masih hilang dan dikhuatiri lemas selepas cuba menyelamatkan rakan mereka yang dibawa arus.

​Mangsa yang hilang dikenali sebagai Nur Afiqah Shahirah Mohd Shawalluddin, 15, dan adiknya, Nur Shahila Shahirah Azman, 12.

​Menceritakan semula kejadian itu, Nurul Ain Fatihah berkata, mereka berempat keluar dari rumah sekitar jam 2.30 petang sebelum menuju ke sungai tersebut untuk mandi-manda.

​Bagaimanapun, suasana kegembiraan bertukar menjadi tragedi apabila rakan mereka, Noor Shaqira Abdul Fatah, 12, secara tiba-tiba dihanyutkan arus sungai.

​Melihat keadaan itu, Nurul Ain Fatihah bersama dua beradik tersebut cuba memberi bantuan, namun malangnya kedua-dua beradik itu pula hilang daripada pandangan, manakala Nurul Ain Fatihah berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung.

​Seorang lagi mangsa, Noor Shaqira yang berjaya diselamatkan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

​Sementara itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang digerakkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Nerus sedang giat dijalankan bagi mengesan dua beradik tersebut.

​Pasukan penyelamat melakukan pencarian di permukaan air dan turut mendapat bantuan pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) bagi mengesan mangsa di dasar sungai.