Afli bakal bantu nelayan tempatan kesan ‘lubuk’ ikan, selamat di laut

LocalTechnology
27 Oct 2026 • 11:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Afli bakal bantu nelayan tempatan kesan ‘lubuk’ ikan, selamat di laut

AKSES teknologi bagi nelayan kecil untuk meningkatkan kecekapan menangkap ikan dan keselamatan ketika berada di laut bukanlah sesuatu yang mustahil, malah semakin mudah dicapai menerusi penggunaan aplikasi berasaskan kecerdasan buatan (AI).

Dalam konteks ini, AI boleh dimanfaatkan bagi membantu nelayan kecil di Malaysia mengenal pasti kawasan yang berpotensi mempunyai banyak ikan sekali gus mengurangkan kos operasi dan meningkatkan keselamatan ketika berada di laut.

Pada ketika ini, teknologi AI untuk kegunaan nelayan telah dibawa masuk ke Malaysia menerusi aplikasi perikanan dari Iceland iaitu Afli.

Aplikasi ini dibangunkan oleh syarikat teknologi GreenFish hf. dan diperkenalkan menerusi kerjasama dengan Supratechnic (M) Sdn Bhd, yang dilantik sebagai pengedar eksklusif Afli di Malaysia, Singapura dan Indonesia.

Menurut Ketua Serantau Transformasi Digital dan Teknologi Supratechnic, Lim Wei Jie, program rintis melibatkan 50 nelayan di Pantai Timur dan barat Semenanjung Malaysia itu akan dijalankan selama empat hingga enam bulan termasuk ketika musim monsun bagi menilai keberkesanan teknologi berkenaan dalam keadaan perairan tempatan sebelum pelancaran komersial penuh.

“Afli menggabungkan AI, pemantauan satelit dan data oseanografi untuk meramalkan kawasan yang berpotensi mempunyai hasil tangkapan lebih tinggi.

“Ramalan tersebut dikemas kini sekurang-kurangnya setiap enam jam, manakala aplikasi turut memberikan penjelasan mengenai faktor yang menyebabkan sesuatu kawasan dikenal pasti berpotensi mempunyai banyak ikan,” katanya pada Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama untuk membawa teknologi pengesanan ikan berasaskan AI kepada nelayan Malaysia di Mercure Kuala Lumpur Trion, Chan Sow Lin, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambahnya, pendekatan itu membolehkan nelayan membandingkan ramalan teknologi dengan pengalaman dan pengetahuan mereka mengenai keadaan laut.

Maklumat berkenaan juga disimpan dalam telefon bimbit supaya boleh digunakan ketika bot berada di luar kawasan liputan rangkaian mudah alih.

Dibangunkan khusus untuk nelayan kecil yang mengendalikan bot di bawah 40 tan daftar kasar (GRT), aplikasi itu tidak memerlukan perkakasan khas atau sambungan satelit tersendiri. Sebaliknya, nelayan boleh menggunakannya melalui telefon bimbit masing-masing.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi GreenFish, Baldur S. Blondal berkongsi teknologi berkenaan berpotensi membantu nelayan membuat keputusan lebih baik ketika merancang perjalanan menangkap ikan.

Image from: Afli bakal bantu nelayan tempatan kesan ‘lubuk’ ikan, selamat di laut
AFLI menggabungkan AI, pemantauan satelit dan data oseanografi yang akan memberi kelebihan kepada nelayan-nelayan di Malaysia, Singapura dan Indonesia.

“Afli meletakkan ramalan berasaskan AI pada telefon bimbit yang mereka bawa bersama-sama pengetahuan yang telah terkumpul bergenerasi lamanya.

“Selain ramalan perikanan, GreenFish dan Supratechnic turut membangunkan ciri keselamatan perjalanan yang merangkumi perancangan laluan, amaran kelewatan pulang dan fungsi kecemasan (SOS),” ujarnya.

Katanya lagi, melalui ciri yang dirancang itu, individu terpilih di darat boleh menerima amaran sekiranya nelayan tidak melaporkan kedudukan atau tidak kembali dalam tempoh yang ditetapkan.

Rekod lokasi yang dikumpulkan ketika berada di luar liputan rangkaian akan dihantar apabila sambungan kembali tersedia.

Bagaimanapun, ciri keselamatan tersebut masih dalam pembangunan dan perlu dinilai sebelum dilancarkan.

Aplikasi itu juga bukan pengganti peralatan keselamatan atau komunikasi marin, manakala setiap nelayan mempunyai kawalan untuk menentukan dengan siapa lokasi mereka dikongsikan.

Ketua Pegawai Eksekutif Supratechnic merangkap Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan USP Group, Melvin Tan turut memberitahu kerjasama berkenaan bertujuan menguji keberkesanan teknologi itu dalam keadaan sebenar, termasuk ketika musim monsun sebelum diperluas kepada lebih ramai pengguna.

“Dalam tempoh rintis, ketepatan ramalan akan dibandingkan dengan lokasi tangkapan pilihan nelayan, selain menilai penggunaan bahan api dan masa yang diperlukan untuk mencari ikan.

“Afli akan tersedia dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, manakala bahasa Cina ringkas dirancang untuk ditambah sebelum pelancaran komersial, diikuti bahasa Indonesia,” jelasnya.

Supratechnic turut merancang bekerjasama dengan persatuan nelayan bagi menawarkan langganan berkumpulan supaya aplikasi itu lebih mampu milik, termasuk untuk nelayan daripada isi rumah B40.

Sekiranya projek rintis menunjukkan hasil positif, Afli akan ditawarkan secara berperingkat melalui rangkaian cawangan Supratechnic di seluruh Malaysia sebelum diperluas ke Singapura dan Indonesia.

Penggunaan teknologi berkenaan diharap dapat membantu nelayan kecil mengurus kos perjalanan dengan lebih cekap, di samping menyokong usaha memperkukuh kelangsungan ekonomi komuniti pesisir pantai.

The post Afli bakal bantu nelayan tempatan kesan ‘lubuk’ ikan, selamat di laut appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved