PPPIM cadang tiga mekanisme subsidi diesel untuk nelayan C2

LocalBusiness & Finance
24 Oct 2026 • 5:06 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: PPPIM cadang tiga mekanisme subsidi diesel untuk nelayan C2

PETALING JAYA: Persatuan Pusat Perusahaan Perusahaan Ikan Malaysia (PPPIM) mencadangkan tiga mekanisme subsidi diesel, termasuk penetapan harga RM3 seliter, bagi membantu pengusaha kapal nelayan laut dalam kategori C2 menangani peningkatan kos operasi.

Pengerusi PPPIM, Sing Kian Hock berkata, dua lagi mekanisme yang dicadangkan ialah pemberian subsidi berdasarkan jumlah hasil tangkapan serta bantuan mengikut bilangan pelayaran atau elaun bulanan bagi kapal yang layak.

“Cadangan ini dikemukakan bagi membantu kerajaan mencari penyelesaian yang praktikal dan seimbang demi kepentingan industri perikanan serta rakyat secara keseluruhan,” katanya dalam kenyataan media.

Sing berkata, menerusi mekanisme pertama, kerajaan dicadang mempertimbangkan harga diesel bersubsidi pada kadar RM3 seliter bagi kapal C2 yang layak, dengan perbezaan harga ditanggung kerajaan sekiranya harga diesel melebihi kadar berkenaan.

Menurutnya, mekanisme kedua pula melibatkan pemberian subsidi secara berperingkat berdasarkan jumlah hasil tangkapan, penggunaan diesel dan kos perjalanan setiap kapal.

“Pendekatan ini juga boleh membantu memastikan bantuan disalurkan secara lebih bersasar, telus dan berkesan,” katanya.

Sing turut mencadangkan bantuan berdasarkan bilangan pelayaran yang disahkan atau pemberian elaun bulanan kepada pengusaha kapal C2 yang layak.

Katanya, penyaluran bantuan itu boleh mengambil kira rekod pelayaran, tempoh berada di laut dan keperluan operasi sebenar bagi memastikan pengusaha yang aktif turut menerima bantuan sewajarnya.

Beliau berkata, ketiga-tiga mekanisme itu boleh dikaji secara berasingan atau digabungkan mengikut kesesuaian dasar, kemampuan kewangan kerajaan dan keperluan sektor perikanan laut dalam negara.

Tambah Sing, kenaikan kos operasi bukan sahaja menjejaskan pendapatan pengusaha kapal dan kebajikan nelayan, malah berpotensi mempengaruhi jumlah pendaratan ikan serta kestabilan bekalan ikan tempatan.

“Sekiranya kos operasi terus meningkat tanpa mekanisme bantuan yang bersesuaian, lebih banyak pengusaha mungkin menghadapi kesukaran untuk meneruskan operasi, sekali gus berpotensi menjejaskan bekalan ikan tempatan dan meningkatkan tekanan terhadap harga ikan di pasaran,” katanya.

Sehubungan itu, PPPIM berharap kerajaan meneliti cadangan berkenaan melalui sesi libat urus bersama persatuan, pengusaha kapal dan agensi berkaitan bagi mengenal pasti mekanisme bantuan yang paling sesuai dan berkesan.

Sing berkata, kerjasama erat antara kerajaan dengan pemain industri penting bagi memastikan sektor perikanan laut dalam terus berdaya maju, bekalan ikan negara terjamin dan kebajikan nelayan diberikan perhatian. – UTUSAN 

 

The post PPPIM cadang tiga mekanisme subsidi diesel untuk nelayan C2 appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved