
PETALING JAYA: Penyanyi, Datuk Seri Siti Nurhaliza berdepan detik cemas apabila anak bongsunya, Muhammad Afwa terpaksa dibawa ke jabatan kecemasan hospital selepas memasukkan sebiji manik mutiara mainan ke dalam lubang hidung.
Menerusi perkongsian di Instagram Story, Siti memaklumkan kejadian tersebut berlaku selepas Afwa pulang daripada menjalani latihan konsert Gema Bumantara yang bakal berlangsung kurang seminggu lagi.
“Anak bertuah ibu. Balik rumah dari latihan, dia buat magik masukkan biji mutiara mainan dalam lubang hidung. Dah perlu pergi ke jabatan kecemasan,” katanya.
Menurut penyanyi lagu Anta Permana itu, dia turut berasa bimbang memikirkan bagaimana manik berkenaan dapat dikeluarkan daripada hidung anaknya memandangkan saiznya agak besar.
“Masa ini Afwa tengah gementar, ibu lagilah tengah cuak. Macam manalah nak keluarkan manik mutiara itu, macam besar saja.
“Nak kena bedah atau bagaimana? Kena tunggu pakar telinga, hidung dan tekak (ENT) datang,” jelasnya.
Bagaimanapun, Biduanita Negara itu akhirnya mampu menarik nafas lega apabila manik berkenaan akhirnya berjaya dikeluarkan tanpa perlu menjalani sebarang prosedur pembedahan selepas si kecil itu bersin.
“Dalam keadaan gementar, Afwa cakap, ‘Ibu, Afwa nak terbersin’, tapi dia takut.
“Agaknya dah lama sangat tahan bersin, dia lepaskan juga. Sekali keluar biji manik itu bersama hingus-hingus ke tangan ibu.
“Alhamdulillah. Tamatlah sudah cerita kami untuk hari ini,” kongsinya.
Dalam perkongsian sama, Siti turut memuat naik beberapa foto memperlihatkan keadaan Afwa ketika berada di hospital selain menunjukkan manik berwarna putih yang berjaya dikeluarkan daripada hidung anaknya.
The post Afwa masukkan manik dalam hidung, Siti Nurhaliza cemas appeared first on Utusan Malaysia.



