
PETALING JAYA – Peguam Negara tidak mempunyai kuasa untuk menangguhkan prerogatif pengampunan diraja Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Tetuan Shafee & Co yang mewakili Najib berkata, pendirian Peguam Negara pada masa ini, sekurang-kurangnya merupakan suatu penghinaan terhadap Seri Paduka Baginda, malah mungkin suatu penderhakaan.
“Kami melihat kenyataan AGC (Jabatan Peguam Negara) sebagai satu tindakan mengetepikan titah Seri Paduka Baginda.
“Tiada apa-apa dalam kenyataan itu yang boleh menjadi asas untuk terus menahan anak guam kami di Penjara Kajang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jelasnya, kenyataan AGC yang merujuk kepada kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak mengubah apa-apa dan ia sedang melalui prosiding, termasuk rayuan yang masih belum diputuskan.
“Hukuman penjara dalam kes itu (1MDB) tidak boleh berkuat kuasa selagi hukuman penjara dalam kes SRC International Sdn. Bhd. (SRC International) belum selesai dan kes itu tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan kewajipan AGC untuk melaksanakan Perintah Pengampunan dalam kes SRC.
“Pendirian anak guam kami mengenai kesan undang-undang Perintah Pengampunan secara keseluruhan dan hukuman beliau adalah terpelihara sepenuhnya,” katanya.
Dalam masa sama, kuasa pengampunan terletak kepada Agong semata-mata, manakala AGC sendiri mengatakan demikian secara terbuka pada Disember 2025, dengan menyatakan ia tidak boleh dilaksanakan oleh mana-mana pihak lain.
“Perintah Pengampunan ditujukan kepada Komisioner Jeneral Penjara, bukan kepada Peguam Negara. Tiada apa-apa dalam Perkara 145(3) yang membenarkan Peguam Negara menangguhkan sesuatu pengampunan diraja atau satu perintah mahkamah yang bermeterai.
“Kenyataan AGC tidak memetik mana-mana peruntukan undang-undang yang memberikan kuasa sedemikian. Sekiranya AGC benar-benar mempunyai persoalan mengenai perintah mahkamah, saluran yang betul adalah memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi, bukan mengeluarkan kenyataan media.
“AGC menganggap dirinya berkuasa menangguhkan titah Seri Paduka Baginda melalui kenyataan media. Pada pandangan kami, ini merupakan tindakan eksekutif yang melampaui batas kuasanya,” katanya.
Tetuan Shafee & Co menegaskan, mereka berani menyatakan bahawa oleh sebab titah Seri Paduka Baginda dan perintah Mahkamah Tinggi hari ini ditujukan kepada pihak penjara, tanggungjawab atas sebarang ketidakpatuhan terhadap titah dan perintah tersebut akan terpikul sepenuhnya di bahu pihak berkaitan.
“Namun, tidak mustahil Peguam Negara atau pihak politik di peringkat yang lebih tinggi akan menafikan bahawa mereka mengarahkan pihak berkuasa penjara untuk bertindak sedemikian.
“Justeru, memandangkan denda telah dijelaskan, apa-apa keputusan untuk terus menahan anak guam kami di Penjara Kajang atas dasar kenyataan AGC adalah tidak mengikut undang-undang dan ia bercanggah dengan Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan,” tegasnya.
Sehubungan itu, pihak berkenaan menggesa Komisioner Jeneral Penjara supaya menyempurnakan pelepasan Najib untuk menjalani tahanan di rumah tanpa berlengah, manakala Peguam Negara menarik balik kenyataan AGC dengan serta-merta.
“Sekiranya AGC masih mempunyai persoalan mengenai perintah mahkamah hendaklah membawanya ke Mahkamah Tinggi, dan kami akan menjawabnya di sana. AGC tidak boleh menahan anak guam kami di Penjara Kajang.
“Setiap syarat yang ditetapkan oleh Seri Paduka Baginda dipenuhi dan tiada alasan yang sah di sisi undang-undang untuk anak guam kami kekal berada di Penjara Kajang walau sesaat lagi.
“Oleh itu, kami menuntut agar anak guam kami dilepaskan serta-merta untuk menjalani tahanan di rumah di kediaman beliau, sebagaimana yang dititahkan oleh Seri Paduka Baginda dan diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi.
“Segala hak anak guam kami adalah terpelihara,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post AGC anggap dirinya berkuasa – Peguam Najib Razak appeared first on Kosmo Online.

![[VIDEO] Kami buat segalanya untuk bawa daddy balik – Anak Najib Razak](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/NAJWA-NOORYANA-NAJWA-1024x768.jpeg?v=1793986719)




