AGC tiada kuasa tangguh pengampunan Najib

LocalPolitics
7 Nov 2026 • 8:43 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: AGC tiada kuasa tangguh pengampunan Najib

PETALING JAYA: Jabatan Peguam Negara tidak mempunyai kuasa untuk menangguhkan secara unilateral pelaksanaan perintah pengampunan yang telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Peguam kanan, Datuk Hasnal Rezua Merican berkata, malah pertikaian tafsiran perkataan dalam perintah pengampunan Datuk Seri Najib Tun Razak sepatutnya tidak menimbulkan sebarang kekeliruan kerana pembayaran denda RM50 juta merupakan prasyarat pelaksanaan tahanan di rumah

“Dalam apa keadaan sekalipun, Jabatan Peguam Negara tidak mempunyai kuasa atau bidang kuasa untuk menangguhkan perintah pengampunan yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong secara unilateral,” katanya dalam kenyataan.

Beliau kemudian menyifatkan tindakan mengekalkan Najib di penjara sementara AGC mendapatkan penjelasan lanjut mengenai tafsiran perintah tersebut sebagai sesuatu yang tidak adil.

Menurutnya, sekiranya benar terdapat persoalan undang-undang yang memerlukan penjelasan, perkara itu tidak sewajarnya dijadikan alasan untuk terus menafikan pelaksanaan tahanan rumah selepas syarat pembayaran denda dipenuhi.

“Jika Jabatan Peguam Negara ingin meleraikan kekusutan minda mengenai interpretasi perintah pengampunan, ia tidak adil dilakukan sementara Najib kekal di dalam penjara.

“Tahanan rumah Najib mesti bermula serta-merta,” tegasnya

Mengulas lanjut, Hasnal Rezua berkata, perintah pengampunan jelas membawa maksud bahawa Najib dibenarkan menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028 tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.

Justeru beliau mempersoalkan apa masih gagal difahami Jabatan Peguam Negara sehingga perlu menangguhkan pelaksanaan perintah tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri itu walaupun telah dijelaskan.

Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai permulaan kepada suatu tindakan yang didakwanya dirancang untuk meneruskan ketidakadilan terhadap Najib tanpa justifikasi undang-undang.

“Jabatan Penjara tidak terkeliru. Mereka terus menahan Najib di penjara selagi denda tersebut tidak dijelaskan.

“Najib dan peguamnya juga tidak terkeliru kerana mereka tidak mengemukakan sebarang permohonan kepada mahkamah atau menulis kepada Lembaga Pengampunan untuk mendapatkan penjelasan mengenai pelaksanaan perintah tersebut,” katanya.

Hasnal berkata, ahli UMNO yang menggerakkan kutipan Tabung Solidariti Najib Razak juga memahami bahawa pembayaran RM50 juta perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum bekas Presiden UMNO itu boleh menjalani tahanan rumah.

Justeru, beliau mempersoalkan tindakan AGC yang hanya membangkitkan isu kemungkinan terdapat dua tafsiran terhadap perintah pengampunan berkenaan selepas pembayaran denda disempurnakan pada 6 November.

Menurutnya, sebelum pembayaran tersebut dibuat, AGC tidak pernah secara terbuka mempertikaikan maksud perintah yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028 tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.

“Setelah denda RM50 juta dibayar ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Jabatan Peguam Negara secara tidak semena-mena mengeluarkan kenyataan media mengenai kekeliruan mereka terhadap tafsiran frasa tersebut,” katanya.

Beliau turut mempertikaikan tindakan AGC mengaitkan kekeliruan itu dengan dokumen Order of Discharge on Payment of Fine bertarikh 6 November 2026 yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Hasnal berhujah bahawa istilah itu dalam konteks pembayaran denda tidak boleh ditafsirkan sebagai penghapusan keseluruhan hukuman penjara yang masih belum selesai dijalani.

Katanya, mahkamah sememangnya mengetahui bahawa Najib dikenakan kedua-dua hukuman, iaitu pemenjaraan dan denda.

Oleh itu, pembayaran denda tidak sepatutnya membawa maksud hukuman penjara turut terhapus, sebaliknya membolehkan baki hukuman dilaksanakan mengikut bentuk tahanan rumah seperti yang diperuntukkan dalam perintah pengampunan berkenaan.

“Tidak mungkin suatu mahkamah yang sedia maklum bahawa Najib dikenakan hukuman penjara dan denda memaksudkan istilah discharge sebagai melupuskan hukuman penjara yang belum dijalani.

“Tiada asas untuk Jabatan Peguam Negara menjadi terkeliru tentang perkara ini kerana pembayaran denda tidak pernah secara undang-undang beroperasi melunaskan hukuman penjara yang belum dijalani,” tegasnya.

Hasnal berkata, walaupun perintah mahkamah mengarahkan Najib dilepaskan serta-merta selepas pembayaran denda, beliau masih tertakluk kepada kewajipan menjalani tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Semalam, pasukan peguam Najib yang diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah turut menolak pendirian AGC berhubung penangguhan pelaksanaan tahanan rumah tersebut.

Peguamnya mengesahkan Najib masih berada di Penjara Kajang ketika kenyataan AGC dikeluarkan, walaupun proses untuk membolehkan beliau menjalani tahanan rumah sedang dilaksanakan. – UTUSAN

The post AGC tiada kuasa tangguh pengampunan Najib appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved