Isu tafsiran Pegampunan Diraja tak sepatutnya berbangkit – Pas

LocalPolitics
7 Nov 2026 • 9:40 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Isu tafsiran Pegampunan Diraja tak sepatutnya berbangkit – Pas

PETALING JAYA: Isu dua tafsiran berhubung Titah Pengampunan Diraja terhadap Datuk Seri Najib Razak dengan Perintah Pelepasan Selepas Pembayaran Denda yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tidak sepatutnya berbangkit.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, perkara itu sewajarnya telah diperjelaskan lebih awal oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi mengelakkan kekeliruan berhubung pelaksanaan pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri berkenaan.

Beliau berkata, sekiranya perkara yang perlu diteliti itu berkaitan penolakan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman bagi kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) oleh Mahkamah Tinggi pada 14 Oktober lalu, AGC sepatutnya mendapatkan penjelasan daripada mahkamah pada tarikh berkenaan.

Justeru, katanya, Pas menggesa kerajaan supaya memberikan penjelasan mengenai kelewatan pelaksanaan titah pengampunan bersyarat kepada Najib yang diperolehi hampir dua bulan lalu.

“Berdasarkan penyataan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU-JPM) Najib dengan jelas telah mendapat pengampunan di bawah Perkara 42, Perlembagaan Persekutuan dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bahawa beliau perlu menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028 dan perlu membayar denda sejumlah RM50 juta.

“Pentakrifan biasa undang-undang dan juga pemahaman awam daripada perkara di atas adalah jelas bahawa setelah pembayaran denda sejumlah RM50 juta diselesaikan maka Najib bolehlah menjalani baki hukuman penjaranya secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihak kerajaan khususnya Jabatan Peguam Negara sebagai penjaga kepentingan awam perlu memberikan penjelasan yang jelas tanpa berselindung kepada awam kenapakah pelaksanaan hukuman tersebut kelihatan dilewat-lewatkan.

“Maxim undang-undang keadilan yang dilengahkan adalah keadilan yang dinafikan adalah suatu prinsip yang amat perlu ditegakkan demi keadilan kepada mana-mana pihak yang terkesan dengan sesuatu hukuman,” katanya.

Semalam, media melaporkan, Najib selesai melunaskan denda RM50 juta bagi membolehkannya menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan rumah. Bayaran itu diselesaikan di kaunter pembayaran hasil dan deposit Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur

Perkara itu disahkan peguamnnya Farhan Muhammad Shafee.

Bagaimanapun, Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar kemudiannya menyatakan pendiriannya supaya pelaksanaan tahanan di rumah melibatkan Najib sewajarnya ditangguhkan dengan alasan timbul persoalan perundangan berhubung interpretasi frasa “menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028 tertakluk sekiranya beliau membayar denda RM50 juta” dan kesannya terhadap baki hukuman penjara bagi kes SRC International.

Susulan itu, Najib sehingga kini masih kekal di Penjara Kajang walaupun telah melunaskan syarat denda RM50 juta yang dikenakan terhadapnya bagi membolehkannya menjalani baki hukuman penjara di rumah. – UTUSAN

The post Isu tafsiran Pegampunan Diraja tak sepatutnya berbangkit – Pas appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved