
KUALA LUMPUR - Jabatan Peguam Negara (AGC) membantah permohonan Badan Peguam Malaysia untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman berhubung pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Dalam satu kenyataan hari ini, AGC berkata bantahan itu dikemukakan ketika pendengaran kebenaran semakan kehakiman pada 12 November lalu atas alasan keputusan yang dibuat Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dicabar melalui prosiding mahkamah.
Menurut AGC, keputusan yang diperkenankan Seri Paduka Baginda dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan adalah bersifat tidak boleh diadili oleh mahkamah (non-justiciable).
AGC turut menegaskan komitmennya untuk mempertahankan institusi diraja serta menjunjung Perlembagaan Persekutuan dalam semua tindakan berkaitan perkara berkenaan.
Hujahan pihak-pihak terlibat dijadualkan didengar pada 17 Mac 2027.
Badan Peguam Malaysia memfailkan permohonan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman pada 10 November lalu bagi mencabar keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International di bawah tahanan rumah.
Antara perkara yang dimohon ialah perintah membatalkan prosiding serta keputusan Lembaga Pengampunan, selain penangguhan pelaksanaan aturan tahanan rumah itu sehingga permohonan semakan kehakiman diputuskan.
Badan Peguam Malaysia turut berhujah bahawa tahanan rumah tidak termasuk dalam pengertian pengampunan, penangguhan pelaksanaan hukuman atau peringanan hukuman seperti diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Pada 18 September lalu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat terhadap Najib yang membolehkannya menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Pengampunan itu tertakluk kepada beberapa syarat, termasuk pembayaran denda RM50 juta. - Getaran, 24 November 2026






