AGC fail notis rayuan keputusan lepas, bebas Syed Saddiq

LocalPolitics
26 Jun 2025 • 5:30 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan semalam yang melepas dan membebaskan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, daripada sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun serta dua sebatan.

AGC berkata, proses rayuan itu sebahagian daripada sistem kehakiman yang membenarkan semakan terhadap keputusan mahkamah lebih rendah.

“Selepas meneliti dan menimbangkan keputusan Mahkamah Rayuan, jabatan ini menfailkan notis rayuan hari ini bagi merayu keputusan pelepasan dan pembebasan berkenaan.

“la adalah amalan biasa dalam proses perundangan negara dan tidak mencerminkan sebarang prejudis terhadap mana-mana pihak.

“Pemfailan rayuan ini bertujuan memastikan isu-isu perundangan timbul daripada keputusan Mahkamah Rayuan dapat diteliti dan diputuskan secara muktamad oleh Mahkamah Persekutuan, selaras prinsip keadilan dan tadbir urus undang-undang telus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan hari ini daripada sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun serta dua sebatan atas kesalahan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Armada.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, yang bersidang bersama-sama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin sebulat suara membenarkan rayuan bekas Menteri Belia dan Sukan itu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman berkenaan.

Noorin yang membacakan penghakiman Mahkamah Rayuan semalam, berkata mahkamah itu mendapati pendakwaan gagal membuktikan pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah mengikut Seksyen 406 terhadap Syed Saddiq selaku perayu.

Beliau berkata, panel juga mendapati pendakwaan gagal mengemukakan bukti dan fakta yang boleh dipercayai bagi menyokong pertuduhan di bawah Seksyen 403 (menyalahgunakan harta).

Syed Saddiq, 32, merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 November 2023 yang menjatuhkan hukuman itu terhadapnya, dengan bersandarkan kepada 18 alasan menerusi petisyen rayuannya difailkan pada 12 Disember tahun lalu. - 26 Jun, 2025